Kerajaan Johor Sambut Baik Pelaksanaan Pelan Transformasi PBT

JOHOR BAHRU, 26 Feb- Kerajaan Negeri Johor menyambut baik pelaksanaan Pelan Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai salah satu usaha meningkatkan kebolehupayaan PBT.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi berkata ia juga selari dengan gagasan Johor Berkemajuan yang dicetuskan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

12795492_567615850068397_6957545957702546050_nMenurut beliau Pelan Transfomasi PBT yang diperkenalkan menuntut PBT untuk tampil ke hadapan, termasuk menjadikan budaya keterbukaan sebagai asas pentadbiran mereka.

“Dengan menjadikan gagasan Johor Berkemajuan sebagai asas dalam transformasi ini, PBT harus beroperasi dalam ekosistem yang kompleks dan meliputi pelbagai peringkat.

“Namun pada masa sama masih mampu mencari titik pertemuan yang berkesan yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat sesuai dengan tema tranformasi ‘PBT Dekat Di Hati Rakyat’,” katanya menerusi entri terbaharu di laman rasmi facebooknya.

Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan ke-70 (MNKT ke-70) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa mempersetujui pelaksanaan Pelan Transformasi PBT.

Pelan yang turut mendapat komitmen daripada semua kerajaan negeri itu menggariskan enam teras dan lapan projek berimpak tinggi termasuk penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan PBT di peringkat negeri.

Selain itu, PBT juga digalakkan untuk mengadakan program pertemuan ‘town hall’ bersama masyarakat untuk mengeratkan lagi kerjasama semua pihak.