Johor Mahu Wujud Garis Panduan Berteras Rakyat Bagi Pembangunan Bercampur

JOHOR BAHARU, 25 Feb — Kerajaan Johor berhasrat mewujudkan garis panduan berteraskan rakyat dalam pembangunan bercampur bagi menyesuaikannya dengan penubuhan Gagasan Johor Berkemajuan.

10256225_1023358887728424_5031531812297920620_nPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abdul Latif Bandi berkata matlamat itu atas beberapa faktor, antaranya mahu memastikan garis panduan tersebut kekal relevan untuk diguna pakai pada masa hadapan.

Beliau berkata pihaknya juga mahu ia menjadi panduan kepada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) dan agensi teknikal dalam proses mempertimbangkan permohonan bercampur khususnya bagi pemaju kediaman dalam zon perancangan yang ditetapkan sebagai ‘perniagaan’ di bawah Rancangan Tempatan Daerah.

“Kita perlu faham, pertimbangan menyeluruh diperlukan dalam membangunkan sesuatu kawasan. Alangkah rugi apabila kita mempunyai segala potensi untuk membangunkan sesebuah kawasan dengan sempurna, tetapi kita mensia-siakan peluang itu disebabkan kelemahan kita membuat perancangan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Program ‘Focus Group Discussion (FGD) Draf Garis Panduan Pembangunan Bercampur Negeri Johor’, di sini semalam.

Latif berkata peningkatan terhadap keperluan untuk pembangunan bercampur tidak boleh dinafikan lagi pada masa ini, berikutan sentimen masyarakat yang lebih menghargai pembangunan lengkap dan bersepadu.

Katanya kepekaan itu menyebabkan pembangunan kini dilaksanakan atas satu lot tanah merangkumi pelbagai kegunaan yang sesuai, termasuk melibatkan komponen perumahan, perdagangan serta perindustrian.

Ia berbeza dengan konsep lazim perancangan guna tanah Malaysia yang sering berbentuk pengezonan penggunaan tunggal melibatkan zon perumahan, perniagaan, institusi dan sebagainya, manakala pembangunan bercampur ditakrifkan untuk pecahan lot atau sempadan yang mengasingkan kegunaan berlainan, katanya.

“Untuk menjadi negeri maju dan dinamik, kita tidak boleh lagi berada di takuk perancangan pembangunan tradisional kerana trend pembangunan masa kini memperlihatkan bagaimana masyarakat sekarang lebih menghargai pembangunan yang lengkap dan bersepadu,” katanya.