Johor Bebas Gerakan IS

JOHOR BAHRU 25 Feb. – Polis Johor sentiasa memantau dan mengambil langkah berwaspada sepanjang masa bagi membendung kegiatan pengganas termasuk ancaman kumpulan militan Islamic State (IS).

Ketua Cawangan Khas negeri, Datuk Ramli Hassan berkata, tahap keselamatan di Johor masih lagi terkawal namun pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

image-2Beliau berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang maklumat berhubung ancaman yang boleh menggugat ketenteraman awam di negeri ini.

“Kita sepanjang masa berwaspada kerana benda ini (IS) ada di merata-rata di seluruh negara. (Bagaimanapun), Johor masih terkawal dengan isu-isu sebegini,” katanya selepas mengadakan taklimat perarakan chingay yang turut dihadiri oleh Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, Datuk Seri Tey Kim Chai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan empat warga Indonesia yang ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands di Singapura baru-baru ini ketika dalam perjalanan ke republik itu melalui negeri ini.

Menurut laporan media Si­ngapura, The Straits Times, keempat-empatnya bersama-sama seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dihantar pulang ke negara asal mereka selepas dipercayai dalam perjalanan ke Asia Barat untuk menyertai IS.

Ramli bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian berkenaan memandangkan sebarang kenyataan berhubung IS hanya dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mengulas mengenai perarakan itu nanti, beliau berkata, beberapa jalan utama di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat-pe­ringkat selama empat hari berturut-turut bermula esok.

Katanya, jalan yang akan ditutup esok bermula pukul 10.30 pagi hingga 1 petang adalah Jalan Gereja, Jalan Ulu Ayer Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek, Jalan Susur Ibrahim dan Jalan Wong Ah Fook.

“Pada Sabtu bermula pukul 8.30 pagi hingga 2 petang, jalan yang ditutup adalah Jalan Ngee Heng dan Jalan Tun Razak manakala pada kemuncak perayaan pada Ahad, jalan-jalan akan ditutup mengikut dua peringkat.

“Peringkat pertama bermula pukul 3.30 petang hingga 5 petang melibatkan persimpangan Jalan Gertak/Jalan Dato’ Menteri dan Jalan Ayer Molek manakala peringkat kedua bermula pukul 5 petang hingga 3 pagi melibatkan beberapa jalan iaitu persimpangan Jalan Sungai Chat/Jalan Abu Bakar dan Jalan Ayer Molek/Gerak Merah,” katanya.

Ujarnya lagi, jalan lain yang turut terlibat adalah persimpangan Jalan Dato’ Onn/Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Meldrum, Jalan Siu Nam, Jalan Siu Chin, ‘pusingan U’ Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Station, Jalan Abu Bakar dan Susur Lingkaran Dalam/Jalan Abu Bakar. -Utusan