Sektor Pelancongan Di Pagoh Akan Diselaraskan – Ismail Mohamed

MUAR, 22 Feb – Rancangan pembangunan sektor pelancongan di kawasan Pagoh akan diselaraskan semula bagi memastikan semua penduduk menerima manfaat khususnya dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka.

ismail-mohammedPengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed berkata penyelarasan tersebut penting dan ianya melibatkan penduduk di daerah Muar serta sebahagian kecil daerah Ledang, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang.

“Di Pagoh, kita bertuah kerana mempunyai beberapa lokasi pelancongan seperti Galeri Darurat Bukit Kepong, makam Sultan Alauddin Riayat Shah dan keindahan pulau di Sungai Muar, Durian Condong yang berjaya menarik ramai pelancong.

“Selain itu, kita juga ada beberapa produk pelancongan lain khususnya berasaskan agropelancongan seperti dusun buah-buahan dan turut menawarkan kehidupan masyarakat kampung kepada pelancong sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Muafakat Bukit Kepong dan Kenduri Rakyat Daerah Muar di Galeri Darurat yang disempurnakan Timbalan Presiden UMNO yang juga anggota Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini semalam.

Ismail berkata sebuah pusat komuniti yang kini sedang dibina di kawasan Pagoh juga dijangka akan menyemarakkan lagi sektor pelancongan di kawasan itu sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk pada masa depan.

Sementara itu, beliau yang juga ADUN Bukit Serampang berkata penganjuran karnival yang kini memasuki edisi ketiga dilihat semakin baik dan meriah apabila mendapat sambutan yang memberangsangkan sama ada dari dalam dan luar daerah terbabit.

Program tiga hari yang berakhir semalam itu turut menyediakan pelbagai acara menarik seperti pameran daripada beberapa agensi kerajaan berkaitan, sukan rakyat, pertunjukan sukan kanu polo, cabutan bertuah dan konsert oleh beberapa artis terkenal tanah air.

“Kalau boleh kita mahu penganjuran karnival seumpama ini akan dapat menggalakkan kedatangan lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya.