Bangsa Johor Perlu Bersatu Agar Johor Terus Maju Dan Makmur – Sultan Johor

PONTIAN, 22 Feb – Bangsa Johor perlu hidup bersatu, bekerjasama dan bertolak ansur agar Johor terus maju dan makmur, demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

20160224071404Baginda bertitah adalah penting untuk mengukuhkan ikatan satu keluarga yang besar demi membentuk satu Bangsa Johor walaupun berbeza keturunan dan kepercayaan.

“Kemajuan dan kemakmuran negeri hanya boleh dicapai dengan perpaduan yang kukuh antara semua kaum di bawah satu rumpun.

“Perasaan cemburu dan iri hati dapat dijauhkan apabila semangat saling bantu membantu terbentuk,” titah baginda pada Majlis Makan Malam Sempena Perayaan Chap Goh Meh di Stadium Mini Pontian di sini, malam tadi.

Tambah baginda, hubungan baik perlu dipupuk demi kemakmuran negeri kerana tiada negeri yang boleh maju jika rakyat berpecah.

Oleh itu, ikatan perpaduan perlu dikukuhkan untuk menjadi satu bangsa yang kuat dan berjaya.

Terdahulu, majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang turut diserikan dengan tarian singa dan pertunjukkan bunga api.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Sementara itu, Tee berkata semangat permuafakatan di antara kerajaan dan rakyat adalah contoh terbaik yang perlu diterapkan.

Katanya, walaupun 2015 adalah tahun yang mencabar namun kerajaan negeri mempunyai hala tuju yang jelas serta berpandangan jauh dengan mengambil pendekatan membangun Johor secara inklusif.

“Dengan pertumbuhan positif dalam sektor pelaburan, perindustrian, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta pengurusan dan rizab kewangan yang kukuh, Johor bakal menjadi kuasa ekonomi utama dalam negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, gagasan Johor Berkemajuan akan dapat direalisasikan demi membentuk Bangsa Johor yang maju di peringkat global.