Rakyat Jangan Terlalu Mudah Buat Kesimpulan Isu Kemasukan Pekerja Asing -Hahasrin

TENGGARA, 22 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim berharap agar rakyat negara ini jangan terlalu cepat membuat kesimpulan terhadap isu kemasukan pekerja asing ke Negara ini.

KP JohorJelasnya, rata – rata mereka memberikan pendapat yang negatif di dalam isu ini lebih – lebih lagi apabila secara kebetulan terdapat banyak insiden salah laku pekerja asing dipaparkan di media sosial dan media konvensional.

Pergerakan Pemuda UMNO Johor terpanggil untuk mengulas dengan lebih lanjut tentang isu kemasukan pekerja asing ini ke Malaysia ini kerana terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kerisauan yang ditimbulkan oleh rakyat Negara ini tentang isu tersebut khususnya di dalam soal keselamatan dan masalah gejala – gejala sosial yang timbul disebabkan oleh kemasukan pekerja asing ini.

“ Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyedari bahawa kemasukan pekerja asing ini amat penting untuk pembangunan Negara namun Kerajaan Pusat perlu mewujudkan satu garis panduan yang lebih efisien bagi memantau dan menguruskan kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

“Kerajaan Pusat perlu mengambil contoh modul peraturan kemasukan pekerja asing yang baik yang diamalkan di negara luar seperti Kerajaan Belanda, di mana mereka mengenakan peraturan yang ketat terhadap majikan yang membawa pekerja asing ini malah majikan yang mengambil pekerja asing ini juga perlu menyediakan satu tempat khusus bagi penempatan mereka.

“Dengan cara ini, masalah keselamatan dapat dipantau dan dikawal selia dari semasa ke semasa secara lebih efektif sekaligus mengurangkan rasa bimbang di hati rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah beliau, penyediaan penempatan bagi pekerja asing ini adalah aspek terpenting di dalam mengelak perkara – perkara yang tidak diingini berlaku kepada rakyat tempatan khususnya kaum wanita dan keluarga.

Oleh itu Pemuda Johor berharap Kerajaan Pusat akan mengambil langkah – langkah yang perlu di dalam meningkatkan dan mengetatkan peraturan di dalam pendaftaran warga asing yang bekerja di sini.

“Kami Pemuda UMNO Johor juga berpendapat bahawa penguatkuasaan besar – besaran yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah baik dan seharusnya telah lama dilakukan.

“Kami juga ingin mencadangkan agar Kerajaan Pusat mengkaji had gaji minima bagi sektor tertentu dan strategik khususnya sektor perkhidmatan dan pembuatan. Ini kerana salah satu faktor dalam memilih pekerjaan khususnya kepada anak muda adalah isu gaji yang kadangkala tidak sepadan dengan 3D “Dirty, Difficult and Dangerous” pekerjaan tersebut.

“Contohnya dapat dilihat di Negara Jepun, di mana pekerja – pekerja kafe dan restoran di sana terdiri daripada warga tempatan dan bukannya pekerja asing, ia adalah kerana tawaran gaji di Jepun di dalam sektor demikian cukup menarik bagi anak muda di sana untuk menceburi bidang tersebut,” katanya lagi.