120 Keluarga Terima Bantuan Keperluan RM80 Sebulan

PASIR GUDANG, 20 Feb – Seramai 120 ketua keluarga terdiri daripada golongan kurang berkemampuan layak menerima bantuan keperluan RM80 sebulan.

Bantuan menerusi program Smart Food MyKasih 2016 di bawah inisiatif Yayasan Pasir Gudang (YPG) ini bertujuan meringankan beban kos sara hidup mereka.

SmartFood-752x440Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPG, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bantuan akan diberikan kepada mereka yang berpendapatan RM350 per kapita yang tinggal di kawasan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

“Sebelum ini kita telah memberi bantuan seperti subsidi tambang bas dan pemasangan lampu LED di rumah dan ini merupakan salah satu bantuan dalam usaha mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup kepada rakyat.

“Ini adalah lanjutan kepada bantuan yang ditaja oleh Yayasan MyKasih pada tahun lepas tetapi pada kali ini ianya ditaja oleh Yayasan Pasir Gudang,” katanya yang juga Menteri Besar Johor selepas Majlis Perasmian Smart Food MyKasih 2016 di Taman Cendana, di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MPPG, Md Za’nal Misran.

Sebanyak RM115, 200 diperuntukan bagi pelaksanaan bantuan ini selama setahun, mulai Mac ini sehingga Mac 2017.

Penerima yang terdiri daripada pelbagai kaum itu akan menerima bantuan sebanyak RM80 yang akan dikreditkan ke dalam MyKad mereka setiap bulan.

Ia boleh digunakan di pasaraya yang dilantik seperti Redmart, Econsave dan Kedai Harga Patut Muafakat Johor (ImCoop).

Penerima bantuan juga akan mendapat diskaun sebanyak 3 peratus sekiranya mereka berbelanja di ImCoop dan secara automatik akan menjadi ahli di bawah Koperasi Muafakat Johor, yang mana pendaftaran keahlian RM200 akan ditanggung oleh kerajaan negeri. – Jauhar