Johor Sambut Baik Keputusan Tangguh Pengambilan Pekerja Asing- Khaled Nordin

JOHOR BAHARU, 20 Feb  — Kerajaan negeri Johor menyambut baik keputusan kerajaan pusat menangguhkan pengambilan pekerja asing, dari semua negara sumber termasuk Bangladesh, berkuat kuasa serta merta.

imageMenteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha membawa masuk pekerja asing memerlukan beberapa syarat yang mesti dikuatkuasakan termasuk soal perumahan mereka dan kelayakan setimpal.

“Saya mengalu-alukan keputusan itu dan pada masa yang sama berpendapat, kita mesti memberi penekanan kepada rakyat tempatan untuk bekerja dan meneliti soal gaji yang ditawarkan.

“Kalau ditawar gaji setimpal, saya percaya rakyat kita mahu menjadi pelayan restoran seperti yang berlaku di kebanyakan restoran dan hotel di Jepun di mana kita boleh lihat semua rakyat tempatan yang bekerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Smart Food MyKasih Yayasan Pasir Gudang (YPG) 2016, di Taman Cendana, di sini, hari ini.

Katanya, buat masa ini Johor mengalami kekurangan tenaga kerja berkemahiran, namun, kerajaan negeri sedang berusaha memberi kemahiran kepada rakyat seperti menyediakan Tabung Latihan Kemahiran Johor dengan peruntukan RM10 juta bagi menghasilkan pekerja mahir.

“Kita latih rakyat kita, kita buka hab kemahiran dan sebagainya. Maka, kebergantungan kita kepada orang asing dalam bidang tertentu sudah tidak diperlukan,” kata Mohamed Khaled.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing itu untuk membolehkan kerajaan mengkaji semula pembayaran levi tahap dua dan menumpukan perhatian kepada pekerja asing sedia ada.

Beliau berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada program penggajian semula di samping meningkatkan penguatkuasaan supaya tidak ada pekerja asing baharu dibawa masuk ke dalam negara.

Mengenai Smart Food MyKasih YPG, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPG berkata ia merupakan satu bentuk bantuan sara diri kepada golongan tidak berkemampuan menerusi pembelian barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Beliau berkata RM115,200 diperuntukkan bagi menjalankan program itu selama setahun bermula bulan depan dengan 120 ketua isi rumah pelbagai kaum yang beralamat di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pasir Gudang dipilih sebagai penerima bantuan.

“Sebanyak RM80 akan dikreditkan di dalam kad pengenalan mereka setiap bulan sehingga Mac tahun depan dan mereka boleh membuat transaksi pembelian barangan keperluan di beberapa pasar raya yang dilantik YPG,” katanya.