‘OPAL’ Beri Peluang Kedua Kepada Bekas Penagih, Peluang Pekerjaan Sektor Perladangan

KUALA LUMPUR 17 Feb – Program ‘Oil  Palm For Life’ ( OPAL) bakal memberi peluang kedua kepada bekas penagih serta membuka ruang kepada kumpulan sasar yang berkaitan di dalam bidang perladangan sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing di dalam sektor terbabit.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata bagi tujuan itu seramai 1000 tenaga kerja daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (CCRC) akan mejadi perintis kepada projek berkenaan.

IMG_4295-e1455696562719Menurut beliau menerusi program tersebut yang dirancang beberapa bulan sebelum ini, mereka yang terpilih akan ditempatkan di ladang-ladang Felda dan juga FGVH selama dua tahun dan ianya dipantau oleh pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Sebagai projek perintis seramai 1,000 orang akan dipilih melalui ‘Road Show’ yang akan diadakan mulai bulan ini di CCRC seluruh negara. 1,000 peserta program ini akan ditempatkan di 20 kawasan ladang FELDA dan FGV secara berkolompok. Untuk permulaan Felda Serting, Negeri Sembilan akan menjadi pilihan lokasi pertama.

“Sepanjang tempoh tersebut para peserta akan menjalankan kerja-kerjaladang di samping mengikuti program kerohanian, motivasi, kaunseling dan upskilling bagi menyediakan peserta untuk berdikari dalam masyarakat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Razali lagi segala kerja yang berkaitan ladang termasuk meracun, menyabit dan sebagainya lagi akan dilaksanakan sepertimana garis panduan yang ditetapkan oleh pihak ladang dan begitu jugalah dalam soal pembayaran gaji.

“Ini adalah permulaan dan kita percaya jika ini berjaya dan mampu dilaksanakan, sudah pasti akan memberi manfaat kepada mereka yang lain untuk sama menceburi sector ini. Malah saya penuh yakin ini juga bakal membuka ruang kepada pusat-pusat latihan pertanian lain kelak untuk sama-sama menjayakannya.

“Kita difahamkan Felda dan FGV , kekosongan untuk buruh ladang hampir 10,000 untuk diisi. Jadi dengan OPAL ini, insya Allah peluang pekerjaan terbuka dan bakal memberi ruang kepada mereka yang berminat untuk bekerja di sektor perladangan,” katanya.

Menyentuh program OPAL, Razali berkata program berkenaan adalah inisiatif bersama beberapa agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU), NGO MANTAP, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)/ Felda Global Venture (FGV), Agensi Anti DadahKebangsaan (AADK) serta beberapa pihak swasta dan agesni kerajaan lain.

“Dalam tempoh lima bulan pelbagai siri mesyuarat telah dijalankan dan akhirnya kita bersetuju untuk peringkat pertama ditempatkan di ladang Felda dan dengan pelaksanaan inisiatif ini akan dapat membantu rakyat khususnya bekas penagih.

“Secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan buruh asing dalam sektor peladangan sekaligus menyahut saranan Datuk Seri Najib melalui Rancangan Malaysia kesebelah (RMK-11) “PertumbuhanBerpaksikan Rakyat”,” katanya.