Usia 70 Tahun Lambang Kekuatan UMNO – Anuar Manap

SEKIJANG, 16 Feb – Naib Ketua UMNO Bahagian Sekijang, YB Anuar Abd Manap berkata, parti keramat UMNO yang bakal mencecah usia 70 tahun pada 11 Mei ini menggambarkan secara jelas bahawa parti ini amat berpengalaman, mempunyai kekuatan dan kecekalan malah jasa yang cukup besar kepada Negara.

20160203064459Jelasnya, sekiranya seseorang individu itu berusia 70 tahun maka ia dilihat sebagai seorang yang uzur tetapi UMNO sebagai sebuah parti, 70 tahun itu adalah simbol kekuatan.

Maka sesetengah pendapat yang mengatakan UMNO bakal rebah pada usia ini adalah sesuatu yang sama sekali tidak benar dan tidak boleh diterima.

“UMNO telah melahirkan pemimpin, pengikut dan pelapis yang berjuang dan berbakti kepada negara. Terlalu banyak jasa UMNO yang tidak mungkin mampu disenaraikan.

“Walaupun begitu saya tidak nafikan di usia 70 tahun ini jugalah bakal mencabar UMNO terutama dalam memastikan parti yang menerajui Barisan Nasional (BN) itu terus kekal ampuh menerima sokongan daripada rakyat keseluruhannya.

“Diterima dan dirasai… Dihargai dan dihormati… Inilah cabarannya namun ia tetap bergantung kepada waris pimpinan yang bakal menerajui parti ini untuk terus mendokong dan memastikan UMNO terus dihati rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Anuar, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bakal menjadi satu pilihan raya yang begitu mencabar untuk UMNO walaupun UMNO telah mempunyai begitu banyak pengalaman.

“Terlalu banyak pihak yang cuba untuk menjatuhkan UMNO demi merampas tampuk pimpinan Negara tetapi saya penuh yakin 70 tahun adalah satu lambang tersendiri buat parti keramat ini.

“Walaupun diserang dari segenap pelusuk namun ia tidak akan rebah. Kita akan terus berusaha dan memastikan usaha kita sejak dahulu tidak akan sia-sia… Maka, jadikanlah ulang tahun UMNO kali ini sebagai penyuntik semangat agar UMNO terus kukuh dan kuat,” katanya lagi.