Potensi Kampung Sungai Latoh Perlu Diketengahkan

PASIR GUDANG: Kampung Sungai Latoh Kong Kong, Masai mempunyai potensi untuk menjadi kawasan pelancongan kepada negeri Johor dan pelan pembangunannya haruslah dibentangkan agar Kerajaan Negeri dapat melihat potensi itu dengan lebih jelas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan, Usahawan dan Penerangan Negeri Johor, YB Tuan Haji Md. Jais bin Haji Sarday berkata dengan adanya pelbagai produk pelancongan serta mempunyai keunikan tersendiri, lokasi tersebut berjaya menjadi tarikan.

12742651_1027375707301458_1904132908897249639_nYB Tuan Haji Md. Jais juga telah meminta sokongan daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) supaya menyediakan kertas kerja dengan lebih terperinci tentang pelan pembangunan Kampung Sungai Latoh dan ianya akan dibentangkan kepada kerajaan.

Terdahulu, YB Tuan Haji Md. Jais yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kegiatan koperasi di kampung nelayan berkenaan. Pengarah Jabatan Pembangunan Sosial IRDA, Nor Hisham Hussein turut hadir dalam lawatan berkenaan.

Pada Mac 2014, Koperasi Kampung Sungai Latoh Kong Kong Masai Berhad telah didaftarkan dan ianya juga merupakan koperasi yang menyediakan pelbagai kemudahan disamping menjalankan aktiviti pelancongan. IRDA turut memberi kerjasama dalam aktiviti yang dijalankan.

Tinjauan di beberapa kawasan termasuklah kawasan bakau dan hidupan kerang laut, rumah rakit, kilang arang dan aktiviti menjala ikan turut dilakukan dalam lawatan selama sehari itu.

YB Tuan Haji Md. Jais juga menyarankan orang ramai untuk berkunjung ke kampung tersebut dan berpeluang menikmati beberapa hidangan istimewa antaranya kerang gergasi dan lauk pauk yang dihidangkan di dalam buluh.