Tempat Tinggal Perlu Sebelum Bawa Masuk Pekerja Asing – MB Johor

JOHOR BAHARU, 12 Feb — Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyebut perlunya pekerja asing disediakan tempat tinggal bagi mengelakkan pihak berkuasa berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk penempatan dan sosial.

12742145_10153634297953173_1361842446789605047_nLangkah ini juga dapat mengawal keadaan kemasukan pekerja asing dengan lebih sistematik, kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Persatuan Peminat Berbasikal dan Kebajikan di Kampung Sungai Rinting, Pasir Gudang, di sini.

Kenyataan beliau ini dilihat ada kaitan dengan rancangan kerajaan Pusat untuk membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, pemilik industri atau kilang perlu bertanggungjawab, seperti menyediakan tempat tinggal pekerja tersebut.

“Majikan tidak boleh membiarkan pekerja asing menyewa merata tempat,” kata beliau.

Mohamed Khaled berkata pihaknya banyak menerima rungutan daripada masyarakat mengenai pekerja asing ini membawa masalah kepada penduduk tempatan.

“Kami tidak mahu pekerja asing ditempatkan di kawasan berdekatan masyarakat setempat bagi mengelakkan masalah pertembungan sosial berlaku,” katanya.

Selain itu industri dan kilang yang mempunyai pekerja asing harus diletakkan syarat pekerjanya mempunyai latar pendidikan minimum.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri telah memutuskan hanya beberapa kawasan sahaja di negeri ini dibenarkan bagi penempatan warga asing.

“Pemusatan ini termasuk di beberapa buah daerah di negeri ini yang merupakan kawasan perindustrian termasuk di Pasir Gudang,” katanya.