UMNO Johor Jalankan Kajian Elektoral, Rangka Manifesto Hadapi PRU14

JOHOR BAHARU, 7 Feb  — UMNO Johor akan menjalankan Kajian Elektoral Johor dan merangka manifestonya sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

DSKN Berucap Perjumpaan TPMPengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata UMNO Johor kini sedang melatih kumpulan pelaksana yang akan menjalankan kajian berkenaan mulai Julai ini.

“Kajian ini bertujuan memahami secara saintifik, trend atau kecenderungan mengundi penduduk Johor yang membolehkan kita mengenal pasti isu-isu spesifik di sesuatu kawasan seterusnya mengambil langkah intervensi sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan khas tertutup UMNO Johor bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata kajian berkenaan akan dijalankan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dengan metodologi yang dipakai akan bersandarkan kepada tiga kaedah iaitu Kajian Soal Selidik Lapangan, Perbincangan Kumpulan Bertumpu serta Temu Bual Elit.

Beliau berkata kajian berkenaan akan dikendalikan oleh badan pemikir UMNO Johor iatu Bait Al Amanah dan UMNO Johor juga sudah menghantar satu pasukan seramai lapan orang ke Sabah untuk dilatih bagi mengendalikan kajian tersebut bersama-sama Majlis Profesor Negara yang sedang melakukannya di Sabah.

Berhubung manifesto UMNO Johor, Mohamed Khaled berkata pihaknya sudah menggerakkan kerja bagi merangka manifesto tersebut yang sesuai dengan aspirasi pelbagai pihak.

Katanya, beberapa siri ‘townhall’ akan diadakan untuk mendapatkan maklum balas pelbagai pihak, anggota dan bukan anggota UMNO tentang masa depan Johor yang mereka impikan.

Mengenai perancangan lain, Mohamed Khaled berkata, UMNO Johor juga sedang melakukan penstrukturan semula Badan Perhubungan UMNO Johor yang akan menjadikan UMNO Johor sebuah organisasi moden dan diuruskan oleh bakat terbaik serta profesional.

“Lima bahagian penting dalam struktur parti adalah meliputi operasi yang melibatkan strategi politik, pengurusan pengundian dan keanggotaan, persediaan pilihan raya serta pengurusan program,” katanya.

Beliau berkata UMNO Johor akan berperanan sebagai sebuah pergerakan politik moden yang diurus bersandarkan kepada pencapaian sebaik sahaja penstrukturan itu lengkap.

Mohamed Khaled berkata, UMNO Johor juga akan melancarkan Sekolah Politik dan Kepimpinan Awam yang akan melatih pemimpin masa depan parti dengan dilaksanakan secara berperingkat mengikut modul-modul khas.

Beliau berkata sekolah politik itu akan mengendalikan beberapa kursus jangka panjang dan sederhana dengan menerusi kohort pertama, seramai 40 pemimpin muda UMNO dari peringkat cawangan dan bahagian akan dipilih untuk mengikuti program selama empat bulan yang dikendalikan berasaskan modul.

Menurut Mohamed Khaled, UMNO Johor berharap, sekolah tersebut akan melahirkan pemimpin pelapis yang faham mengenai isu-isu parti sekaligus memberi ruang untuk UMNO Johor menilai potensi sebenar pemimpin pelapis dan mewujudkan kumpulan bakat untuk UMNO.

“UMNO Johor berada pada tahap perpaduan yang sangat erat. Kita fokus dengan agenda parti dan pilihan raya. Kita setia dan teguh di belakang parti. Kita tidak mahu parti berpecah belah dan alhamdulliah, UMNO Johor kekal kukuh,” katanya.