Siasatan Terhadap PM: UMNO Johor Terima Keputusan Peguam Negara

JOHOR BAHARU, 7 Feb — Umno Johor menerima keputusan Peguam Negara berhubung siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan berharap keputusan tersebut dihormati semua pihak.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan berkenaan merupakan pendirian Umno Johor dalam isu kepimpinan parti.

UMNO JOhor“Sejak beberapa bulan lepas, banyak masa, tenaga dan perhatian telah dicurahkan untuk menjelas dan menjernihkan kemelut tersebut.

“Kita tidak seharusnya terus terbawa-bawa dengan perkara ini (kemelut).

“Kita perlukan titik penutup dan perlu segera kembali mara ke hadapan,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis perjumpaan khas Umno Johor bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini Ahad.

Turut hadir, Naib Presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata Umno Johor juga amat menyokong usaha kepimpinan negara untuk mengkaji semula sistem pembiayaan dana pergerakan politik di Malaysia.

Beliau berkata Umno mesti lebih telus dan berwaspada dalam pengurusan dana yang melibatkan parti dan kepentingan awam.

Menurutnya, sudah tibanya masanya juga untuk Umno mempunyai sistem meraih dana yang telus dan bertanggungjawab, sesuai dengan kematangan sistem demokrasi parti.

Katanya, Umno Johor juga menganggap segala episod yang berlaku sebagai satu proses yang mendewasakan dan mesti Umno lalui untuk menjadi lebih berketahanan, matang dan lebih baik.

“Parti dan pemimpin tidak boleh lari daripada berhadapan dengan ujian sebegini.

“Yang akan dihakimi oleh rakyat kelak adalah bagaimana kita mendepaninya dengan berani, telus dan profesional,” katanya.

eguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 26 Jan lepas berkata tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan siasatan SRC International dan dana RM2.6 bilion yang didakwa didepositkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri.

Berikutan itu, Mohamed Apandi berkata kedua-dua kertas siasatan berkaitan dikembalikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari berkenaan untuk ditutup.

Dalam pada itu, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim berkata pendirian UMNO Johor itu dapat meredakan pelbagai persoalan di peringkat akar umbi sekaligus mengelakkan kekeliruan.

Katanya, pendirian itu sekali gus membolehkan parti keramat itu menumpukan kerja-kerja hakiki berbanding terlalu banyak memikirkan persoalan yang menjejaskan parti.

“Kadang-kadang boleh serang sesama sendiri sehingga terlupa musuh kita sebenarnya di tempat lain,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis perjumpaan itu.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya anggota Umno menyokong keputusan terbabit.

Ketua Wanita Umno Bahagian Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad turut menyambut baik keputusan Badan Perhubungan Umno Johor itu dan berharap semua pihak memberi sokongan kepada keputusan kepimpinan.

“Keputusan Umno Johor tepat pada masanya. Semua pihak sepatutnya tidak mempersoalkan keputusan yang sudah diputuskan oleh satu badan yang diketahui kredibilitinya dan buat keputusan secara profesional,” katanya.