Johor Berkemajuan, Gagasan Baru Untuk Johor

JOHOR BAHRU, 4 Feb – Kerajaan negeri Johor hari ini memperkenalkan gagasan Johor Berkemajuan sebagai instrumen mewujudkan keseimbangan dalam pembangunan Bangsa Johor yang inklusif pada masa hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata gagasan itu merupakan satu dari tiga agenda utama baharu pembangunan negeri itu.

886820_559055900924392_3317657118603879581_o-752x440Beliau berkata dua lagi agenda penting merangkumi gagasan pertumbuhan ekonomi baharu dan penambahan baik fungsi serta peranan kerajaan.

Menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat Menteri Besar Johor bersama Pegawai dan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Johor 2016, Mohamed Khaled berkata ketiga-tiga instrumen itu merupakan pelengkap kepada hasrat kerajaan negeri untuk melonjakkan Johor sebagai kuasa ekonomi di rantau ini.

Katanya, pembangunan ekonomi tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan baik tanpa pencapaian keseimbangan pembangunan di kalangan rakyat.

“Pembangunan bangsa dan tanahair memerlukan keseimbangan antara kemakmuran material, kesejahteraan sosial dan kekuatan keperibadian bangsa.

“Kita selalu beranggapan bahawa kekuatan sesebuah negara itu adalah pada pembangunan ekonomi dan materialnya. Itu tidak tepat.

“Kemajuan material itu pasti akan susut nilai dan kepentingannya jika karektor, budaya dan pemikiran bangsa terkebelakang dan mundur,” katanya kepada lebih 2,000 orang yang hadir pada program di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini.

Hadir sama pada majlis itu barisan Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim, kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri Johor, pemimpin masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari seluruh Johor.

Menurut Mohamed Khaled, rakyat Johor yang berkemajuan ditakrifkan sebagai bangsa berbudaya tinggi, berkeperibadian unggul, berpegang pada nilai dan berfikiran maju.

Jelas beliau, dalam usaha mewujudkan kehidupan dan pola fikir bangsa yang maju, anjakan sosial perlu dilakukan ke arah mewujudkan masyarakat yang berpemikiran, budaya dan sikap yang berkemajuan.

“Ia juga merangkumi rakyat yang tidak sekadar berpendapatan tinggi tetapi bersusila dan berakal budi.

“Gagasan ini bukan sekadar jargon dan pernyataan normatif yang dinukil dengan harapan dan berakhir dengan tepukan, sebaliknya merangkumi tugas dan tanggungjawab yang besar,” katanya lagi.

Mohamed Khaled berkata selama ini tumpuan hanya diberi kepada indikator ekonomi iaitu negara mencapai kadar pertumbuhan purata tujuh peratus setahun untuk tempoh 25 tahun secara konsisten.

Sedangkan, katanya, wujud perbezaan antara menjadi negara maju dan membina masyarakat maju.

“Masyarakat maju, ukurannya bukan hanya pada keterbukaan peluang pekerjaan atau lingkaran lebuhraya bertingkat-tingkat mahupun gedung membeli belah bersaiz mega, tetapi maju pada pemikiran dan budaya kerana tanpa pemikiran dan budaya yang maju, cita-cita menjadi negara maju pasti gagal untuk direalisasikan,” jelas Mohamed Khaled. – Jauhar