110 Warga Emas Parlimen Kota Tinggi Terima Angpau

KOTA TINGGI, 4 Feb — Seramai 110 warga emas daripada keluarga kurang berkemampuan di sekitar Parlimen Kota Tinggi menerima angpau dan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baru Cina.

12565629_1720305941534633_64282578949343788_nAnggota Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata program anjuran Pusat Khidmat Anggota Parlimen Kota Tinggi itu bertujuan meringankan beban selain menambah keceriaan kepada golongan berkenaan menyambut perayaan.

“Ia juga menjadi sebahagian daripada usaha kita menghulurkan bantuan yang bukan sahaja ketika sambutan Tahun Baru Cina tetapi juga untuk perayaan lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan itu, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md Ariff, Ketua MCA Bahagian Kota Tinggi, Ng Keng Heng dan Pengerusi Jawatankuasa Rumah Sejahtera Kota Tinggi, Tan Piah Sung.

Terdahulu dalam ucapannya, Ehsanuddin turut mengajak masyarakat negeri ini supaya sama-sama bertanggungjawab menangani pelbagai ancaman yang dihadapi negara demi keamanan.

“Keamanan sesebuah negara tidak akan dapat dicapai tanpa didukung oleh rakyat negara ini.

“Oleh itu, selaku rakyat dan penduduk negara ini, kita perlu sama-sama bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara yang kita cintai,” katanya.