Johor Sasar Setinggan Sifar, Perkasa Agenda Pembangunan Melayu Di Bandar

JOHOR BAHRU, 01 Feb – Kerajaan negeri menyasarkan setinggan sifar terutama di daerah ini dalam masa kira-kira dua tahun lagi dengan menyusun dan menyediakan penempatan baharu untuk mereka dalam kawasan bandar.

imageMenteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu juga merupakan antara usaha memastikan terutama orang Melayu tidak terpinggir dalam kawasan kormersial, bernilai tinggi dan pesat membangun di bandar raya ini.

“Dalam usaha menempatkan semula kawasan setinggan di ta­nah milik kerajaan yang mana boleh kita bagi hak milik kita akan bagi dan susun semula. Apa yang penting mereka ini menjadi fokus dan mendapat pembelaan kerajaan negeri.

“Untuk menempatkan mereka semula kita juga sedia terima cadangan pemimpin setempat, wakil rakyat atau pemimpin parti untuk dibawa kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Skim Sewa Beli Penempatan EDl Parlimen Johor Bahru di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi; Ahli Parlimen Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim.

Mohamed Khaled berkata, pe­nempatan semula setinggan itu merupakan langkah pembangunan inklusif dan antara agenda pembangunan orang Melayu untuk memastikan mereka terus berada dalam bandar dengan menyediakan perumahan mampu milik.

Mengenai penyerahan kunci rumah dan tawaran sewa beli di pe­nempatan itu, beliau memberitahu, sebanyak 2,932 keluarga dari lapan kampung antaranya Desa Jaya, Desa Melayu, Desa Makmur, Kampung Tengah, Bunga Raya, Kampung Belantik, Tok Siak dan Kampung Datuk Hajah Hasnah yang terlibat projek Lebuh Raya Pe­nyuraian Timur (EDL).

Katanya, projek penempatan semula yang bermula sejak 1996 itu melibatkan kos pembinaan RM303 juta dan daripada peruntukan ber­kenaan RM203 juta disalurkan kerajaan Persekutuan manakala selebihnya kerajaan negeri.

Jelasnya, kos rumah itu RM140,000 untuk satu unit tetapi mereka tidak perlu membayar harga tersebut kerana kerajaan memberikan subsidi iaitu 1,360 pemilik hanya perlu membayar RM35,000 seunit manakala 1,360 anak pemilik serta penyewa pula ditawarkan RM50,000 seunit.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memperkenalkan skim tersebut kepada 94 pemohon dengan cara membeli rumah itu sebelum menawarkan secara sewa beli kerana permohonan mereka membeli rumah menerusi pinjaman bank tidak diluluskan.

“Bagi pemohon yang tidak mampu, miskin dan fakir, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membeli rumah-rumah ini dan kemudian menyewakan kepada mereka secara percuma hingga mereka mampu keluar daripada kemiskinan,” ujarnya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/johor-sasar-setinggan-sifar-1.185509#sthash.x4hoMomY.dpuf