MBNJ Puji Keputusan Kerajaan Teruskan Pembangunan RAPID Pengerang

JOHOR BAHARU, 29 Jan — Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) memuji strategi pengubahsuaian Bajet 2016 yang memutuskan untuk meneruskan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, dekat Kota Tinggi.

2014_1124_ec_1Presidennya Manndzri Nasib berkata penerusan projek itu penting memandangkan RAPID merupakan aset baharu ekonomi di Johor.

“RAPID penting sebagai sumber kerjaya kepada hampir 30,000 warga belia Johor khasnya, untuk tempoh suku abad mendatang. Andai pembangunan RAPID terganggu sekarang, ia akan terus terencat menjelang 2020,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 di Putrajaya, berkata kerajaan komited untuk mencapai sasaran pelaburan swasta berjumlah RM215 bilion tahun ini.

Contohnya, pelaksanaan projek utama seperti Mass Rapid Transit (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT), Lebuhraya Pan-Borneo, Malaysian Vision Valley, Cyber City Center, RAPID Pengerang dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi, akan diteruskan, kata Najib.

Manndzri berkata MBNJ turut memuji respons segera kerajaan dalam mendepani krisis ekonomi yang melanda dunia dan negara.

Beliau berkata pengubahsuaian Bajet 2016 dilihat sebagai tindakan logik dan langkah analitis yang wajar dibuat berikutan kejatuhan harga minyak yang menjejaskan pendapatan Petronas sebagai penyumbang kepada pendapatan negara.

“Dengan melihat situasi negara jiran dan dunia yang masih dibelenggu kelembapan ekonomi, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, cekap menghidu kemungkinan negatif yang boleh menjejas kelancaran Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan cita-cita perdana Wawasan 2020,” katanya.

Menurut Manndzri, selain kaedah penyesuaian mikro membabitkan sektor awam, kaedah pemilikan rumah dan isu kepenggunaan yang diberi fokus dalam pengubahsuaian Bajet 2016 juga tepat ketika rakyat, terutama warga belia, bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.