Johor Perangi ?Denggi Secara Agresif – Ayub

SEGAMAT 28 Jan. – Pasukan sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di negeri ini perlu lebih agresif menjalankan aktivitinya kerana hanya 480 atau 60 peratus daripada 982 pasukan itu yang dikesan bergiat aktif.

imagePengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, mereka perlu turun padang di kawasan kampung dan taman perumahan terutama yang sering atau berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Usaha mengukuhkan semula pasukan sukarelawan Combi mesti dilakukan termasuk menubuhkan yang baharu kerana sudah menjadi sasaran kerajaan negeri sebelum ini untuk mempunyai 1,000 pasukan sukarelawan Combi di seluruh negeri ini.

“Pasukan Combi terbukti mampu memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab dan penglibatan komuniti dalam pencegahan demam denggi dan nya­muk aedes di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-royong Perdana Perangi Wabak Denggi di Jalan Awang, di sini hari ini.

Berdasarkan statistik terkini Johor mencatatkan peningkatan sebanyak 301 peratus bagi kes demam denggi pada minggu pertama tahun ini dengan 513 kes berbanding 128 kes yang direkodkan untuk tempoh sama tahun lalu.

Ayub berkata, kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab untuk terlibat memerangi wabak denggi merupakan langkah berkesan yang boleh menangani wabak denggi dan peranan tersebut perlu dilakukan berterusan serta bukan bermusim.

Katanya, kerajaan negeri menggariskan empat pendekatan utama yang perlu dilaksanakan bagi membanteras kes denggi iaitu program yang dilaksanakan harus secara besar-besaran, berulang kali, bersungguh-sungguh dan berterusan.

Menurut beliau, semua pendekatan tersebut penting bagi memastikan kejayaan dan kesinambungan program Combi memandangkan terdapatnya kekangan dalam komuniti setempat seperti tumpuan, pemilihan, tanggapan dan pengekalan.

Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kemelah berkata, dua tahun lalu pihaknya mencadang­kan setiap jabatan kerajaan di negeri ini mewujudkan satu jawatankuasa mencegah denggi namun sambutan diberikan kurang menggalakkan.

“Saya juga minta semua penduduk di negeri ini agar dapat meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan tempat atau bekas di dalam dan luar rumah yang berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes,” katanya.