Persidangan Cawangan UMNO Bermula 18 Mac – 1 Mei, Bahagian 1 Ogos – 15 September

KUALA LUMPUR 29 JAN – Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini memutuskan Persidangan Tahunan Cawangan UMNO akan bermula 18 Mac hingga 1 Mei 2016, manakala Mesyuarat Perwakilan Bahagian pula akan bermula pada 1 Ogos hingga 15 September.

PWTC, 29 Januari -- Presiden UMNO, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini, turut kelihatan ialah Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa. Foto:MediaUMNO

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Majlis Tertinggi juga turut berbincang mengenai program sambutan Ulang Tahun UMNO ke-70 yang akan disambut pada bulan 11 Mei nanti.

“Kita juga bincang program sambutan hari ulangtahun ke-70 dan sambutan ini akan kita beri butirannya secara lebih lanjut sebab tempat cadangan asal Stadium Nasional tidak boleh digunapakai sebab dibangun semula dan kita akan cari tempat lain.

“Antara program yang akan diadakan termasuk larian bendera, karnival sukan UMNO sehingga ke peringkat bahagian serta peringkat nasional dan ianya dikendalikan dibawah Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini, hari ini.

Datuk Seri Najib turut memberitahu Majlis Tertinggi juga mengambil maklum beberapa perkara lain termasuk Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) dan pengubahsuian Bajet 2016.

“Majlis Tertinggi ambil maklum beberapa perkara antaranya kita telah berjaya mendapat kelulusan penyertaaan Malaysia dalam perjanjian TPPA dan Majlis Tertinggi berharap perkara-perkara yang dibincangkan pada waktu perbahasan yang ada kaitan dengan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dari sudut pelaksanaan TPPA selepas ratifikasinya dalam tempoh selepas 2 tahun.

“Majlis Tertinggi juga ambil maklum mengenai pengubahsuaian Bajet 2016 yang nampaknya disambut secara positif langkah yang telah diumumkan.

“Kita sebagai kerajaan akan terus memastikan pelaksanaan inistiaf yang disebutkan dalam ucapan semalam dan perkara ini saya telah jelaskan dalam mesyuarat jemaah menteri tadi untuk kita lihat aspek pelaksanaannya.

“Dan langkah-langkah yang telah diumumkan itu kita dapat menjamin bahawa hasil negara boleh bertambah menampung kekurangan hasil daripada sektor minyak,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Najib turut memberitahu Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang baru bagi menggantikan Datuk Ahmad Maslan yang dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi dan sebagai pengerusi biro IT UMNO Malaysia di dalam penyusunan semula struktur Majlis Tertinggi UMNO.

Selain daripada itu, Datuk Azeez Rahim pula dilantikan sebagai Pengerusi Daftar Pemilih dan Keahlian UMNO Malaysia. Manakala pengerusi Biro Ekonomi yang sebelum ini dipegang oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kini diterajui oleh Datuk Johari Abdul Ghani.

Datuk Seri Reezal Marican pula dilantik sebagai pengerusi Biro Hal Ehwal Pelajar Luar Negara dan Datuk Razali Ibrahim pula dilantik menjadi Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Datuk Shamsul Anuar Nasara pula dilantik sebagai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia bagi menggantikan tempat Datuk Azeez Rahim.