Usaha Promosi Wilayah Iskandar Dipergiat Bagi Bantu Ekonomi Negara

SINGAPURA, 25 Jan — Usaha mempromosikan wilayah Iskandar yang juga koridor ekonomi di selatan negara, akan terus dipergiatkan bagi membantu ekonomi negara, kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.

iskandarmalaysiacommercialdevelopment1“Kita menunggu dasar (kerajaan) selanjutnya. Sudah tentu Kerajaan Pusat mempunyai justifikasinya sendiri dan IRDA sudah pasti bekerjasama bagi membantu negara dalam konteks ini,” katanya di luar Forum Pembangunan Bandar Raya Eko dan sidang media projek Forest City Global, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Pengubahsuaian Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada 28 Jan ini.

Wilayah ekonomi selatan di Johor yang berkembang sekitar 7.0 hingga 8.0 peratus setahun itu, berjaya menarik komitmen pelaburan sebanyak RM189 bilion sejak penubuhannya pada 2006 sehingga November 2015 lepas.

Laporan sebelum ini menyatakan, IRDA dalam proses memuktamadkan rundingan dengan sekurang-kurangnya tiga pengendali taman tema menjelang akhir tahun ini bagi pembukaan tempat tarikan berkenaan.

Ismail berkata, kesemua projek itu adalah sebahagian sasaran pelaburan sebanyak RM30 juta yang ditetapkan bagi tahun ini.

Selain itu, IRDA juga menyasarkan untuk menarik lebih banyak pengendali hotel bagi membuka kemudahan bertaraf lima hingga enam bintang serta pusat mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).

Menurutnya, kedudukan negara pelabur utama di wilayah Iskandar akan turut berubah yang ketika menyaksikan Singapura di kedudukan teratas diikuti China dan Amerika Syarikat.

Namun China mulai memberi tumpuan dan setakat ini melabur sekitar RM176 bilion bagi pembangunan Projek Forest City, katanya.

“Iskandar juga dijangka menerima satu atau dua pelaburan Amerika Syarikat tidak lama lagi selain dari Timur Tengah, ASEAN, Eropah dan Asia Pasifik,” katanya.

Mengulas pelaburan Forest City, Ismail menyifatkan langkah penambakan tanah di kawasan barat wilayah Iskandar sebagai keputusan strategik dan tiada ketetapan untuk mengehadkan pembangunan di kawasan pantai bagi pelaburan akan datang.

Terletak di empat pulau buatan, Forest City diperkenalkan secara rasmi pada Jumaat lepas oleh pemaju hertanah yang tersenarai di Hong Kong, Country Garden Holdings Co Ltd dan dibangunkan bersama syarikat Johor, Esplanade Danga 88 Sdn Bhd.

Pembangunan mesra alam berkeluasan 1,386.05 hektar dengan anggaran pelaburan sebanyak RM175.8 bilion bagi 20 tahun akan datang, juga diunjur melonjakkan lagi pembangunan ekonomi wilayah itu.

Lapan industri termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan serta pelancongan, bakal menjadi tonggak utama pertumbuhan ekonomi Forest City.