MPPG Lancar Pusat Tuisyen Percuma

PASIR GUDANG: Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) menerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG) melancarkan Pusat Tuisyen Komuniti di Desa Rakyat Perdana, di sini, bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan golongan yang memerlukan.

12633644_555530951276887_928836612205220501_o-CopyMenteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia kesinambungan daripada empat Pusat Tuisyen Komuniti (PTK) yang sudah beroperasi di sekitar daerah ini iaitu di Taman Cendana, Kampung Pasir Putih, Taman Air Biru dan Sungai Tiram.

Beliau yang juga Pengerusi YPG berkata, lebih RM152,000 diperuntukkan bagi operasi lima PTK berkenaan yang merangkumi bayaran tenaga kerja, utiliti dan alat bantu mengajar.

“Lima pusat yang beroperasi secara percuma ini bagi memberi persiapan awal kepada pelajar yang akan menjalani peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tenaga pengajar adalah dalam kalangan guru sekolah yang dikenal pasti mampu menggalas tugas mengajar dengan teknik pembelajaran yang terbaik, selain mempunyai komitmen tinggi dalam usaha menaik taraf mutu pelajaran pelajar,” katanya pada majlis pelancaran Pusat Tuisyen Komuniti Desa Rakyat Perdana, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis MPPG, Md Za’nal Misran.

Program tuisyen berkenaan memberi fokus kepada subjek teras pembelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.