Mahu Bekerjasama Dengan Ahli Dan Pemimpin UMNO, Dap Boleh Terus Bermimpi – Syed Sis

PENGERANG, 26 Jan – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Syed Sis A Rahman berkata, Dap akan berusaha sampai mati supaya kuasa politik melayu terus lemah di Negara ini sekaligus menjatuhkan parti keramat UMNO.

20160125215600Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Penasihat Dap, Lim Kit Siang kononnya Parti Pakatan Harapan dan Dap sudi untuk bekerjasama dengan ahli dan pemimpin UMNO yang kecewa dengan parti melayu itu.

“Kenyataan Kit Siang ini tidak seharusnya dilayan kerana ia ibarat menangguk di air keruh. Bila melihat ada ahli atau pemimpin yang melahirkan ketidakpuasan terhadap perjalanan parti UMNO maka mulalah mereka mahu masuk jarum.

“Kita dalam UMNO memang biasa berselisih pendapat dan ini adalah demi kepentingan parti ini juga. Berbeza pendapat bukan bermakna sanggup mengkhianati parti. Pada akhirnya semua ahli akanbersatu hati demi meneruskan perjuangan agama, bangsa dan Negara,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Syed Sis, Dap boleh terus bermimpi untuk mempengaruhi ahli dan pemimpin UMNO  agar bekerjasama dengan mereka.

Jika adapun yang sanggup mungkin satu dalam sejuta. “Jika jiwa dan roh ahli itu memang UMNO maka mana mungkin kami berpaling tadah. Perjuangan UMNO dan Dap amat jauh berbeza.

“Kita tahu bagaimana Dap bermain politik dan tidak mungkin ahli yang bijak akan terpengaruh dengan propaganda Dap ini. Mereka ini sebenarnya ingin mencari publisiti murahan demi meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum yang semakin menghampiri.

“Saya berharap tidak aka nada seorangpun ahli UMNO yang akan terpedaya dengan janji manis Dap ini,” katanya lagi.