Beri Keutamaan Soal Keselamatan Negara

PONTIAN 24 Jan. – Kejadian serangan bom di Jakarta, Indonesia baru-baru ini wajar diberikan perhatian kerana tidak mustahil berlaku di negara ini sekiranya soal keselamatan tidak diberikan keutamaan pada tahap yang tinggi.

image-7Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, dalam hal ini peranan pihak polis dan pasukan keselamatan lain perlu dihargai dan tidak sekali-kali memperlekehkan atau mempertikaikan kemampuan mereka.

“Soal keselamatan tidak boleh diambil mudah kerana boleh menjejaskan aktiviti ekonomi negara sekiranya berlaku kejadian yang menyebabkan orang ramai takut dan bimbang untuk datang ke negara ini.

“Kecekapan polis telah meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan termasuk pelancong luar. Masyarakat perlu menghargai sumbangan polis dan tindakan sesetengah pihak memperkecilkan polis seharusnya tidak berlaku jika mereka menyedari pengorbanan pasukan keselamatan ini,” katanya berucap merasmikan Karnival Polis DiRaja Malaysia, Ibu Pejabat Polis (IPD) Pontian di Dataran Dato’ Jalok, Benut disini semalam.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Polis Daerah Pontian, Superitenden Zakaria Abd. Rahman, Penolong Pegawai Daerah Pontian, Joharuddin Samion dan Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Suhairi Hashim.

Hasni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri berkata, banyak bukti menunjukkan keupayaan polis yang mematahkan usaha pihak tertentu sebelum berjaya mencetuskan kekacauan dalam negara.

Dalam pada itu, beliau meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan membantu polis dengan memberikan kesedaran kepada orang ramai berkaitan keselamatan di sekeliling kawasan mereka.

Katanya, pengelibatan orang ramai dalam program seperti Rakan Cops, Komuniti Kepolisian dan pa­sukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) merupakan satu usaha dan kerjasama yang berkesan dalam mencegah kejadian jenayah setempat.

“Pengelibatan orang ramai juga sebagai mata dan telinga polis memudahkan penyaluran sebarang maklumat untuk membolehkan tindakan pencegahan diambil dengan segera bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya. – Utusan