1,500 Unit Rumah Mampu Milik Bakal Dibina Di Kota Tinggi

KOTA TINGGI, 24 Jan — Sebanyak 1,500 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bakal dibangunkan secara berperingkat di Taman Daiman Jaya dekat sini, membabitkan tiga fasa pembinaan.

12644677_1006492842748362_6431874208589570153_nMenteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek fasa pertama berharga RM42,000 sebuah itu bakal melibatkan pembinaan 233 unit rumah.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Perumahan Komuniti Johor di Taman Daiman Jaya hari Ahad, beliau berkata projek itu sebahagian daripada projek perumahan mampu milik bakal dibina di kawasan Tenggara.

“Dalam keadaan pertambahan projek perumahan, kerajaan negeri tidak mempunyai halangan jika beberapa kawasan dijadikan kawasan industri sepertimana diusulkan kepimpinan rakyat di sini bagi menampung keperluan dan peluang pekerjaan.

“Apa yang kita lakukan di daerah ini, bagi memastikan jumlah rumah disediakan tidak lebih daripada daftar permohonan. Kita tidak mahu apa dilalui seperti di daerah Johor Baharu satu ketika dahulu, berlaku di mana permohonan lebih banyak daripada rumah yang boleh disiapkan,” kata Mohamed Khaled.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri akan memastikan penawaran dan permintaan terhadap projek perumahan tersebut tidak berlakunya jurang yang besar.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata projek fasa pertama membabitkan keluasan kira-kira 6.07 hektar itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Daiman Development Bhd Ahmad Johari Tun Abdul Razak.