Isu Keselamatan, Masih Adakah Yang Kata Sandiwara?

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Norrulhuda Marsidin berharap agar jangan ada pihak-pihak yang sengaja mencari publisiti murahan, dengan mengaitkan kewujudan kumpulan-kumpulan pelampau dan pengganas sebagai satu sandiwara.

Menurutnya, rakyat negara ini terutama di negeri Sabah khususnya masih belum lupa dengan kenyataan dangkal segelintir pemimpin parti politik pembangkang yang mengatakan pencerobohan bersenjata yang mengaku sebagai kesultanan Sulu di Lahad Datu itu hanya sandiwara semata.

“Sebab itulah semua pihak perlu sensitif bahawa isu keselamatan dan keamanan adalah tanggungjawab bersama, dan jangan mengikut rentak beberapa pihak yang sengaja sering ‘terlajak kata’ mempolitikkan apa sahaja isu termasuklah isu yang melibatkan nyawa.

ancaman-militan“Justeru itu juga, Islam menekankan pentingnya pentadbiran negara yang memberi fokus lima prinsip iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga nyawa, menjaga harta dan menjaga keturunan,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambahnya lagi, langkah kerajaan yang mengambil berat hal ehwal keselamatan dan keamanan rakyatnya bertepatan dengan Maqasid Syariah yang mementingkan lima prinsip tersebut.

“Menggubal undang-undang berkaitan keselamatan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 adalah usaha yang amat tepat kerajaan lakukan.

“Walaupun begitu, kesungguhan kerajaan itu perlulah mendapat kerjasama yang baik dari kita semua, dan menginsafi bahawa fahaman radikal dan ekstrimis bukanlah ajaran Islam yang sebenar.

“Tambahan pula dengan zaman maklumat yang serba pantas ini, sudah pasti cabaran yang dihadapi amat besar,” kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Labis itu.

Beliau juga berpandangan isu yang timbul apabila melibatkan keselamatan adalah isu sejagat, isu global yang merentasi sempadan ras, etnik dan negara dan kerana itu amat penting pelbagai akta dan undang-undang yang berkaitan perlulah dikuatkuasakan dengan sebaiknya supaya keharmonian masyarakat terpelihara.

“Jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, yang mengganggu-gugat keamanan dan keselamatan negara, pasti ada pihak yang akan tuding jari kepada kerajaan.

“Kerana itu pepatah ada mengatakan, mencegah lebih baik dari mengubati dan saya yakin kerajaan mampu menanganinya,” ujarnya lagi.

Polis Diraja Malaysia dan angkatan tentera juga telah bergabung tenaga bagi memastikan tahap keselamatan negara berada dalam keadaan terbaik, dan sebagai rakyat yang bertanggungjawab serta sayang kepada negara ini, seharusnya kita tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebar maklumat tidak sahih yang boleh mencetus kebimbangan umum berhubung tahap keselamatan negara, tegasnya.

Pada minggu lalu, sekurang-kurangnya tujuh orang disahkan maut dalam insiden letupan bom dan tembakan di kawasan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jakarta yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan militan Daesh.

 

Sumber: Media UMNO.