Klip Video JDT Cetus Fenomena

JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencetuskan feno­mena dan ngauman Harimau Selatan semakin garang.

12485829_567221140107856_825676591744108623_oTerbaharu, video mempromosikan jersi baharu pasukan jenama Adidas yang dimuat naik di Facebook JOHOR Southern Tigers (JDT) sudah ditonton lebih 1.5 juta pe­ngunjung, dikongsi lebih 50,000 kali dan menerima 72,907 Like setakat pukul 10 malam.

JDT nyata melakar sejarah tersendiri apabila jumlah itu ditonton tidak sampai 24 jam selepas dikongsi di laman Facebook tersebut.

Lebih menarik, pemilik Kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut membuat kemunculan khas dalam video berdurasi tiga minit tujuh saat yang menampilkan pemain-pemain JDT dan ketua jurulatih pasukan, Mario Gomez.

Video yang disifatkan mempunyai kelas tersendiri dan dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai itu memaparkan para pemain JDT bermain dan menggelecek bola dengan memakai jersi baharu yang ditaja pengeluar pakaian terkemuka itu.

Kemunculan Tunku Ismail yang berpakaian sut dengan kemeja putih dalam video itu amat santai dengan memaparkan beliau memerhatikan beberapa pemain menggelecek bola di kawasan landasan daripada dalam pesawat peribadinya.

Rata-rata pengunjung laman Facebook tersebut nyata kagum dan seronok menonton video yang disifatkan berada dalam kelas tersendiri, malah setanding dengan video yang dikeluarkan jenama antarabangsa bagi mempromosikan produk mereka.

Bila ada yang suka, pasti ada yang tidak suka, sekali gus ada dalam kalangan netizen turut mengkritik video berkenaan yang didakwa diciplak daripada iklan Nike yang mempamerkan skuad Brazil yang dikeluarkan bersempena Piala Dunia 1998.

Malah, ada yang mendakwa, JDT bakal disaman oleh pengeluar ­barangan sukan gergasi Amerika Syarikat itu.

Dalam pada itu, Presiden Persa­tuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim menyifatkan pencapaian tersebut menunjukkan populariti JDT kini di tahap jauh lebih tinggi.

Pada masa sama, Ismail turut berkongsi berita gembira bersama peminat berhubung tajaan dari Thailand.

“Sewaktu JDT berada di Thailand, ada syarikat besar di sana ingin menaja kelab kita seperti mereka menaja beberapa kelab bola sepak di Eropah.

“Buat masa ini, rundingan sedang dilakukan dan kami akan memaklumkan kepada anda semua keputusannya nanti,” katanya. – Utusan