430 Bakal Terima Geran Tanah: Hargai Kerja Kuat, Kesabaran Peneroka Felda Pemanis Dua

SEGAMAT 18 Jan. – Berita baik bagi 430 peneroka Felda Pemanis Dua apabila mereka bakal mendapat geran tanah masing-masing tidak lama lagi.

DSKN - SegamatPerkara tersebut dijanjikan sen­diri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyampaikan hak milik tanah kepada seramai 803 peneroka Felda Palong Timur 1, 2 dan 3 di Dewan Putra, Palong Timur 2, dekat sini semalam.

Beliau berkata, setakat ini seramai 3,731 daripada 4,161 peneroka Felda di 12 tanah rancangan tersebut yang terdapat di daerah ini te­lah pun menerima hak milik tanah mereka dan kerajaan negeri sedang berusaha untuk memberi geran serupa kepada baki 430 peneroka di Felda Pemanis Dua.

Menurutnya, kerajaan negeri sen­tiasa menghargai kerja kuat serta kesabaran peneroka dalam usaha mereka untuk membangunkan kebun dan ekonomi keluarga masing-masing.

“Sebenarnya kita kena mene­rima hakikat bahawa golongan pe­neroka turut memainkan peranan penting dalam menyumbang terhadap pembangunan ekonomi serta kemakmuran bukan sahaja negeri, malah negara selama ini.

“Langkah kerajaan mewujudkan Felda bukan sekadar untuk mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan, malah sebagai bukti keprihatinan serta kemampuan kerajaan dalam membangunkan negara,” tegasnya.

Sementara itu, seorang penerima, Ahmad Alip, 63, berkata, walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk menguruskan kebun selepas kaki kanannya dipotong akibat diabetes sejak setahun lalu, namun dia tetap bersyukur ke­rana berkesempatan untuk me­nerima sendiri geran hak milik ta­nah tersebut.

“Pengurniaan hak milik tanah ini membuktikan keikhlasan kerajaan membantu golongan peneroka seperti saya untuk membesarkan 14 orang anak hasil kebun yang diusahakan selama ini,” katanya.

Salmah Salleh, 62, yang merupakan peneroka di Felda Palong Timur 2, turut mengakui gembira kerana menerima hak milik tanah, namun pada masa yang sama terkilan kerana suaminya, Baharudeen Bahari sudah tiada kerana dia yang berusaha gigih memba­ngunkan kebun tersebut.

“Memang agak terkilan kerana saya tidak dapat berkongsi detik kegembiraan yang kami tunggu sejak 28 tahun lalu dengan suami yang meninggal ketika berusia 61 tahun pada tahun 2008.

“Walaupun saya sudah tidak mampu mengerjakan kebun ketika ini, tetapi saya akan memastikan tiga orang anak saya dapat menjaga dan mengusahakannya sebagai menghargai titik peluh dan usaha arwah bapa mereka,” katanya. – Utusan