Pandangan Sinis Kesediaan UMNO Johor Bekerjasama Dengan Pas Mereka Yang Terdesak- Ali Mazat

JOHOR  BAHRU, 18 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh meminta mana-mana pihak agar tidak memandang sinis kenyataan terbuka Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa UMNO negeri itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Pas.

Bagi beliau itulah lambang keprihatinan seorang pemimpin yang ingin melihat kepentingan dan kabajikan rakyat tidak dihalangi oleh garis pemisah parti politik semata-mata dan ianya adalah selaras dengan pucuk pimpinan parti itu sendiri.

“Mungkin akan ada yang kata bila dah lemah baru nak cari dahan untuk berpaut dan sebagainya. Bagi saya kenyataan seumpama itu adalah kenyataan mereka yang cetek dan tidak melihat secara rasional.

“Tidak timbul siapa lemah dan siapa kuat…malah tidak timbul juga siapa yang ingin mencari dahan berpaut dan sebagainya sebaliknya apa yang diperkatakan itu tidak lebih berpaksikan kepada apa yang disebutkan tadi iaitu untuk manfaat dan kepentingan bersama.

“Apa yang diutarakan oleh Datuk Seri Khaled ada asasnya dan tidak perlulah mana-mana pihak cuba menangguk di air yang keruh dnegan mencipta pelbagai isu dan mencipta pelbagai tohmahan yang tidak masuk akal.

“Apa yang penting adalah untuk kepentingan rakyat. Malah Menteri Besar sendiri mengalu-alukan soal tersebut kerana ia mendukung aspirasi nasional, membawa kemajuan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat. Itulah yang kita sepatutnya dokong,“ katanya kepada UMNO-Johor, di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata UMNO negeri itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Pas, kata.

Beliau berkata UMNO Johor mengalu-alukan sebarang kerjasama baik yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau ada apa-apa usaha untuk berbincang, bermuafakat, berunding dan sebagainya, kami amat mengalu-alukan kerana ia mendukung aspirasi nasional, membawa kemajuan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Ali Mazat seterusnya percaya kerjasama serta hubungan yang bakal terjalin amat dialu-alukan oleh rakyat di peringkat akar umbi.

“Saya percaya rakyat pun akan mengalu-alukan dan itulah keterbukaan UMNO negeri dalam soal ini. Jangan ada mana-mana pihak yang memandang sinis sebaliknya lihatlah secara matang,“ ujarnya.