Keghairahan Dap Letak Calon Melayu Serlah Kesangsian Terbuka Terhadap Amanah Dan PKR

LABIS, 18 JAN – Keghairahan Dap yang melaungkan kesediaan untuk meletakkan calon Melayu di beberapa kawasan tertentu khususnya di Selangor pada pilihan raya umum akan datang dilihat sebagai ketidakpercayaan secara terbuka parti berkenaan kepada sekutu mereka sendiri iaitu PKR dan parti Amanah.

Ketua Puteri LabisExco Puteri UMNO Norulhuda Marsidin berkata amat jelas Dap samar-samar dan masih tidak mempercayaai sekutu mereka sendiri biar pun sebelum ini telah mengikat kata persetujuan tujuh perkara menerusi perjanjian di dalam Pakatan Harapan.

Menurut beliau apakah wujud keperluan Dap untuk meletakkan calon Melayu pada pilihan raya akan datang sedangkan PKR cukup setia bersama Dap selain parti baru, Parti Amanah yang hari ini turut juga memikat kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Dap.

“Apakah Dap masih lagi tidak nampak atau buat-buat tidak nampak kesetiaan berkenaan. Apakah Dap masih ragu-ragu dengan kedua-dua parti berkenaan. Takkanlah tidak terbit sekelumit kepercayaan kepada Amanah dan PKR.

“Sewajarnya untuk calon atau di kawasan Melayu secara logiknya perlu diberikan kepada Amanah atau pun PKR. Lagi pun kedua-dua parti berkenaan cukup sinonim dengan Melayu serta kawasan Melayu.

“Namun itu gaya politik Dap yang tidak mempercayaai orang lain dan seboleh-bolehnya mahu menjadikan pakatan yang ditunjangi bersama kedua-dua parti pembangkang berkenaan sebagai pakatan Dap semata-mata,“ ujarnya.

Sebelum ini dilaporkan Dap bersedia untuk meletakkan beberapa calon Melayu pad apilihan raya umum akan datang. Dan antara nama-nama yang disebut-sebut akan menjadi calon ialah bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Aziz Bari, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Young Syefura Othman dan Penyelaras DUN Taman Templer, Edry Faizal Eddy Yusof.

Pada pilihan raya kecil Teluk Intan, Dap mempertaruhkan Dyana Sofia sebagai calon mereka menentang calon BN, Datuk Mah Siew Keong.

Norulhuda yang juga Ketua Puteri UMNO Labis seterusnya menambah apa pun tindakan Dap termasuklah pendekatan terbabit ianya tidak akan menghakis pandangan masyarakat umum terhadap parti berkenaan yang dianggap cauvanis.

Paling jelas tambah beliau lagi sikap serta tindakan sedemikian hanyalah memaparkan parti berkenaan yang tamak serta rakus selain memperlihatkan secara terang-terangan bahawa kewujudan PKR dan kehadiran Amanah di dalam pakatan harapan sekadar ‘pak pacak’.

“Mereka sanggup ketepikan peranan Amanah dan PKR semata-mata untuk memenangi hati kaum Melayu. Jika itulah jalan politiknya apakah perlu kepada kehadiran Amanah dan PKR bersama-sama pakatan harapan,” tambahnya lagi.