Perjanjian Rasmi Pakatan Harapan Tidak Ada Benda Baru, Sekadar Ulang Skrip Lapuk

KUALA LUMPUR 15 Jan – Perjanjian bersama membabitkan PKR, Dap dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang akan dimeteraikan Sabtu ini oleh ketiga-tiga parti berkenaan dilihat tidak ada perkara baru yang boleh memberi keuntungan kepada rakyat sebaliknya sekadar kata sepakat untuk berdepan Barisan Nasional (BN) semata-mata.

20160112024908-3Justeru bagi Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Shamsol Bari Jamali perjanjian berkenaan sekadar perjanjian semata-mata dan pengakhirannya adalah sepertimana perjanjian sebelum ini yang akhirnya menemui kehancuran.

Menurut beliau tidak ada benda baru yang dapat di lihat oleh rakyat dan yang akan berubah hanyalah sekadar kulit perjanjian berkenaan manakala isi kandungannya adalah sama sepertimana sebelum ini yang hanya untuk menumbangkan BN dalam pilihan raya semata-mata.

“Kita percaya mereka boleh buat macam-macam perjanjian dan boleh ikat macam-macam MoU dan sebagainya tetapi bukankah sama sepertimana sebelum ini. Tidak ada benda yang baru pun yang dapat dilihat.

“Pi mai..pi mai tang tu juga…pimpinan yang sama juga. Mereka ini atas kertas sahaja ikat perjanjian itu dan ini tetapi masing-masing ada agenda dan harapan tersendiri yang belum terlaksana, “ katanya, di sini, hari ini.

Dilaporkan ketiga-tiga parti yang bergabung di dalam Pakatan Harapan iaitu PKR, Dap dan Amana akan menandatangani perjanjian kerjasama rasmi pada 9 Januari ini. Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perjanjian akan menumpukan kepada tujuh prasyarat kerjasama gabungan baru pembangkang itu.

Ia, kata Azizah, melibatkan penyelesaian pertikaian, pembahagian kerusi dan kerjasama di negeri-negeri Pakatan Harapan.

Datuk Shamsol Bari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam seterusnya menambah apa yang mereka buat dan ingin laksanakan itu mirip kepada apa yang telah dilaksanakan oleh BN.

Beliau percaya usaha berkenaan tidak akan ke mana malah diyakini akan menemui kegagalan sepertimana perjanjian dan ikatan yang telah dimeterai sebelum ini gara-gara agenda perjuangan yang tidak dapat disepaki secara konsensus.

“Bukankah sebelum ini kita boleh tengok bagaimana keluar Buku Jingga…Macam-macam konsensus menerusi Pkatan Rakyat dan sebagainya tetapi akhir sekali menemui jalan buntu dan seterusnya berkecai.

“Jadi rasa-rasanya yang ini pun mungkin menjurus ke arah itu. Mereka boleh buat macam-macam tetapi percayalah rakyat akan menentukan serta membuat penilaian terbaik demi manfaat mereka. BN telah ada ‘track record’ menerusi gabungan pelbagai parti telah berjaya mengemudi negara dengan baik. Kita tengoklah nanti,“ katanya.