Jangan Salah Erti Kesediaan UMNO Johor Bekerjasama Dengan Pas – Mohamad Azahar

KUALA LUMPUR 15 Jan – Kenyataan terbuka Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa UMNO negeri itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Pas melambangkan keterbukaan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.

tok aiJusteru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang Mohd Azahar Ibrahim meminta mana-mana pihak agar tidak menyalahertikan keterbukaan tersebut kerana apa yang penting adalah kerjasama demi kepentingan bersama.

Menurut beliau soal tersebut perlu dihayati secara mendalam dan dengan terbuka kerana yang jelas adalah nawaitu untuk sama-sama membangunkan negeri dan memberi kesejahteraan kepada rakyat semata-mata.

“Saya fikir tidak lebih daripada itu dan janganlah pula mana-mana pihak menyalahertikan apa yang diperkatakan oleh Datuk Seri Khaled Nordin kerana abgi saya untuk kepentingan rakyat apa salahnya mengenepikan seketika soal politik.

“Bukankah itu menggambarkan politik matang selain memperlihatkan keterbukaan UMNO negeri itu sendiri. Cuma sepertimana yang disebutkan tadi janganlah disalahertikan oleh mana-mana pihak,” katanya kepada UMNO-Johor, di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata UMNO negeri itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Pas, kata.

Beliau berkata UMNO Johor mengalu-alukan sebarang kerjasama baik yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau ada apa-apa usaha untuk berbincang, bermuafakat, berunding dan sebagainya, kami amat mengalu-alukan kerana ia mendukung aspirasi nasional, membawa kemajuan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Mohd Azahar seterusnya menambah bermuafakat dan berbincang antara satu dnegan yang lain bukankah hasilnya cukup positif dan bakal memberi limpahan faedah yang baik untuk rakyat.

“Sebab itulah bagi saya pun amat mengalu-alukan keterbukaan Datuk Seri Khaled Nordin dalam soal ini. Ini adalah politik matang yang sepatutnya kita laksanakan sebaik mungkin demi kepentingan bersama,” katanya.