Program Jangka Pendek Bekalan Air Di Johor Mampu Tangani Kekurangan Ketika Fenomena El-Nino

JOHOR BAHARU, 11 Jan  — Program jangka pendek untuk bekalan air di negeri ini mampu tangani fenomena El-Nino yang dijangka melanda hujung bulan ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Datuk Ir Hasni Mohammad.

hasniSehubungan itu beliau memberi jaminan tiada bekalan air berjadual akan dijalankan di negeri ini pada masa fenomena itu.

“Atas dasar bahawa kita bakal hadapi ancaman El-Nino dan cuaca kering berpanjangan, maka dengan adanya beberapa program air mentah di RAPID (Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia), akan dapat selesaikan isu bekalan air di Pengerang,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui pada taklimat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, baru-baru ini.

Hasni berkata demikian ketika mengulas mengenai sama ada kerajaan negeri akan memulakan kembali bekalan air berjadual sekiranya berhadapan dengan permasalahan bekalan air berikutan El-Nino.

Beliau berkata keupayaan takungan air di beberapa empangan yang menggunakan sumber air dari Sungai Johor akan dapat ditingkatkan apabila baraj Sungai Johor siap pada Mac depan.

“Apabila siap kelak, ia mampu mengawal kemasukan air masin sekali gus meningkatkan takungan air bersih Sungai Johor sehingga 550 juta liter sehari,” kata beliau.

Sementara itu, kerajaan negeri telah memaklumkan kepada kepada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan peruntukan RM100 juta bagi meningkatkan keupayaan takungan di Empangan Sungai Layang.

Hujung bulan lepas, bekalan air berjadual di sebahagian Johor Baharu ditamatkan berikutan trend positif kenaikan paras empangan Sungai Layang dan keberkesanan inisiatif lain.

Manakala catuan air di Kota Tinggi akan ditamatkan pada 15 Januari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata orang ramai dinasihatkan menjaga kesihatan masing-masing pada ketika fenomena El-Nino.

“Bila panas, kita bimbang ia akan sebabkan masalah kesihatan seperti serangan strok haba yang akan merencatkan pesakit, selain menyebabkan tahap kesihatan kita berkurangan,” kata beliau.

Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini berkata cuaca panas dan kering yang kini berlaku di Perlis dan Kedah dijangka akan turut dirasai di seluruh Semenanjung pada penghujung Januari hingga Mac 2016.