Johor Catat Peningkatan Kes Denggi Minggu Pertama 2016

JOHOR BAHARU, 12 Jan — Johor mencatat peningkatan kes demam denggi yang ketara dengan 513 kes dilaporkan bagi minggu pertama tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat.

imagesBeliau berkata peningkatan sebanyak 301 peratus dicatatkan pada minggu pertama yang berakhir pada 9 Jan itu berbanding 128 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Johor Baharu melaporkan kes tertinggi dengan menyumbang 80 peratus diikuti Kota Tinggi sebanyak lima peratus dan Kulai empat peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdapat lapan lokaliti wabak baharu dilaporkan dengan enam di daerah Johor Baharu manakala masing-masing satu daerah di Kulai dan Batu Pahat.

Setakat ini, katanya, jumlah terkumpul lokaliti wabak ialah 52 berbanding 11 lokaliti wabak bagi tempoh sama tahun lepas.

“Terdapat 131 lokaliti wabak yang masih aktif sehingga minggu pertama termasuk 37 wabak tidak terkawal serta 22 lokaliti ‘hot spot’ di daerah Johor Baharu,” katanya sambil menolak kemungkinan fenomena El-Nino menyumbang kepada peningkatan kes denggi itu.

Ayub berkata Operasi Mega Cegah Denggi melibatkan semua pasukan kawalan adalah tindakan kawalan berkesan bagi menangani denggi dengan melakukan ‘fogging’ atau semburan kabut di kawasan wabak dan kawasan berpotensi membiak nyamuk Aedes.

“Nyamuk Aedes mungkin ke tempat lembab, walaupun telurnya telah kering tetapi jika terkena air apabila hujan atau ada air, ia boleh membiak semula,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya kerap membersihkan kawasan lembab seperti bilik mandi, tandas, sinki dan longkang.

Mengenai fenomena El Nino, Ayub menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar kerana penghidratan air dalam badan boleh menyebabkan strok haba terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan orang tua.

Orang ramai juga perlu menjimatkan penggunaan air dan mengelak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu, katanya.