Projek Kehidupan Untuk Rakyat Johor

KOTA TINGGI, 10 Jan – Inisiatif Kerajaan Negeri bersama-sama pihak pemaju dalam usaha meningkatkan bilangan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) merupakan projek kehidupan untuk rakyat Johor.

20160112024908Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri komited dalam mencapai sasaran 60,000 unit RMMJ menjelang tahun 2019.

“Kita sentiasa mengkaji sasaran yang ingin disediakan kerana usaha ini adalah untuk rakyat Johor.

“Maka, kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk melaksanakan usaha yang inovatif ini ,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik Johor dan Perasmian Bangunan Rumah Kelab Komuniti Taman Desaru Utama, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Abd Latiff Bandi, serta Pengurus Besar Maha Builders (MB) Group, Dato’ Abdullah Haji Yusup.

Beliau berkata, usaha pemaju seperti MB Group boleh dianggap sebagai kontraktor penyelamat kerana mampu mengambil alih projek terbengkalai seperti di Taman Desaru Utama ini.

“Mereka komited untuk melancarkan usaha memulakan pembinaan RMMJ yang akan memberi manfaat kepada penduduk Pengerang.

“Ini melibatkan pembinaan 1,066 unit merangkumi RMMJ berharga RM150 ribu seunit, serta Pakej A dan B, masing-masing berharga RM42 ribu dan RM80 ribu seunit,” katanya.

Tambah beliau, projek pembinaannya juga tidak akan di laksana secara berperingkat sepertimana yang dilaksanakan sebelum ini dan berharap dapat dijadikan panduan kepada pemaju-pemaju lain.

Selain pembinaan RMMJ, MB Group juga komited dalam menyediakan kemudahan-kemudahan lain yang antara lainnya adalah dengan menyediakan Rumah Kelab Komuniti Taman Desaru Utama.

“Dengan adanya rumah kelab komuniti ini, ia diharap dapat menyumbang kepada semangat kejiranan, permuafakatan dikalangan semua penduduk yang tinggal di sini.

“Disamping itu, ia juga dapat meningkatkan mutu dan kualiti kehidupan penduduk di sini,“ katanya.
Pembinaan rumah di Taman Desaru Utama ini diyakini mendapat permintaan yang tinggi berikutan pertambahan penduduk serta kedudukan lokasi yang berdekatan dengan projek Pengerang Intergrated Complex (PIC) dan Desaru Coast.