Petronas bekerjasama dengan Kopeja

KOTA TINGGI 10 Jan. – Syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), menjalin kerjasama dengan Koperasi Pengerang Jaya Johor Bhd. (Kopeja), bagi menguruskan stesen minyak komersial di tapak Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), dekat sini.

image-4Pemilihan Kopeja menerusi inisiatif #FORPENGERANG bagi menguruskan stesen minyak yang menjual diesel kepada kontraktor di kawasan tapak PIC membuktikan komitmen Petronas dalam memastikan penyertaan masyarakat tempatan.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Hiliran Petronas, Md. Arif Mahmood berkata, ahli-ahli Kopeja terdiri daripada penduduk beberapa kampung di Pengerang yang dipindahkan bagi memberi laluan pelaksanaan projek PIC.

Menurutnya, projek PIC telah membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk meneroka bidang baharu berkaitan minyak dan gas dan stesen minyak komersial tersebut merupakan salah satu cabang perniagaan industri berkenaan yang akan berkembang.

“Sejajar dengan inisiatif #FORPENGERANG, kita melantik Kopeja menjadi pengendali stesen minyak komersial itu, sekali gus diharap dapat meningkatkan kepelbagaian sumber pendapatan ahli-ahli Kopeja selain merebut peluang sedia ada.

“Kami juga percaya Kopeja dapat menguruskan perniagaan itu dengan sempurna,” katanya pada majlis perasmian Stesen Minyak Komersial Petronas di PIC yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini hari ini.

Stesen minyak komersial diusahakan Kopeja itu mula dibuka sejak 1 Oktober tahun lalu dan beroperasi tujuh hari seminggu mampu menampung kapasiti diesel sebanyak 360,000 liter dan dijual berdasarkan harga pasaran semasa.

Beliau berkata, inisiatif #FORPENGERANG diperkenalkan pada tahun lalu bertujuan meningkatkan penyertaan penduduk tempatan dalam pembangunan di Pengerang selain membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat menerusi pelbagai peluang.

Katanya, inisiatif #FORPENGERANG memberi fokus terhadap peluang perniagaan dan pekerjaan, pembangunan modal insan serta industri sokongan, sekali gus memberi penduduk setempat merebut peluang dengan mematuhi tadbir urus diamalkan Petronas.

Hingga kini sebanyak 120 kontrak dianggarkan berjumlah AS$382 juta (RM1.7 bilion) telah dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor tempatan berkelayakan dan itu merupakan jumlah yang membe-ransangkan.- Utusan