Kerajaan Negeri Bakal Lancar Program Perumahan Golongan Berpendapatan Pertengahan

KOTA TINGGI, 10 Jan — Kerajaan negeri Johor bakal melancarkan program perumahan bagi mereka yang berpendapatan pertengahan dalam usaha  memastikan kesemua lapisan masyarakat boleh memiliki kediaman sendiri.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagi tujuan itu kerajaan negeri akan berbincang dengan Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA) untuk mencapai hasrat tersebut.

Beliau berkata projek perumahan untuk golongan pertengahan itu akan dilancarkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi selepas perbincangan dengan PR1MA selesai.

“Apabila selesai perbincangan dalam masa dua tiga bulan ini, kita akan lancarkan dan akan beritahu berapa unit dan di mana rumah untuk golongan berpendapatan sederhana,” katanya.

Ketika ditanya mengenai harga setiap unit rumah berkenaan, Mohamed Khaled berkata ia diharap boleh dijual dengan harga kurang daripada RM300,000 seunit.

“Selama ini kerajaan negeri memberi perhatian kepada Rumah Mampu Milik (RMM) dengan harga bawah RM150,000.

“(Kini) sudah tiba masanya kita melihat keperluan pembinaan rumah untuk keperluan menengah, mereka daripada pendapatan pertengahan, rumah yang mereka perlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Projek Perumahan Mampu Milik Johor dan perasmian Bangunan Rumah Kelab Komuniti Taman Desaru Utama, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Ahli Parlimen Pengerang, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi.