Kejatuhan Harga Minyak Dunia Tidak Jejas Projek RAPID – Khaled

KOTA TINGGI, 10 Jan– Kejatuhan harga minyak dunia pada masa kini hanya memberi kesan kecil kepada Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak & Petrokimia (RAPID) Pengerang di sini.

Malah, difahamkan projek RAPID yang diusahakan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) itu juga berjalan lancar mengikut jadual dan sehingga kini, mencatat kemajuan sebanyak 17 peratus, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“RAPID menjurus kepada aktiviti menapis minyak bukan memproses (minyak) jadi tempias daripada penurunan itu kurang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Stesen Minyak Komersil Petronas di tapak RAPID di sini, hari ini.

Stesen minyak itu diusahakan oleh Koperasi Pengerang Jaya Johor Bhd (KOPEJA) dan telah mula beroperasi 1 Okt tahun lepas.

Pembangunan RAPID yang merupakan sebahagian daripada komponen Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), dianggarkan bernilai US$16 bilion manakala kemudahan sokongannya melibatkan pelaburan kira-kira US$11 bilion.

Sementara itu, Mohamed Khaled turut berkata Kumpulan Dialog-Royal Vopak-State Secretary Incorprated, yang menjalankan projek Terminal Petroleum Air Dalam, turut menyatakan komitmen untuk terus melabur di Kompleks Bersepadu Petrokimia Pengerang (PIPC).

Terdahulu, beliau menyarankan gerakan koperasi agar lebih menitikberatkan muafakat dalam merebut peluang perniagaan bagi memastikan semua anggotanya mendapat manfaat.

Katanya, kerajaan negeri meletakkan koperasi sebagai formula untuk ekonomi Johor terus berdaya tahan dan bersaing sekali gus membantu masyarakat menangani kos sara hidup yang tinggi.