UMNO Tidak Gentar Hasrat Parti Serpihan Amanah Untuk Tubuh 100 Cawangan Di Johor

KUALA LUMPUR 05 Jan – Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, hasrat parti serpihan seperti Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menubuhkan 100 cawangan Amanah di Johor pada tahun 2016 sedikitpun tidak mampu menggugat keutuhan UMNO di negeri itu.

20151121042159-1Ujarnya, hasrat tersebut terlalu biasa dan sudah pasti menjadi impian setiap parti yang baru ditubuhkan namun persoalannya sejauh mana kepimpinan yang ada di dalam Amanah itu sendiri dapat melaksanakan pewujudan cawangan-cawangan tersebut.

“Amanah ini sebuah parti baru maka sudah pasti ia masih panas tetapi percayalah, rasa panas itu hanya akan bertahan setahun dua sahaja. Selepas itu panas itu akan bertukar kepada suam-suam kuku akhirnya kepada sejuk beku.

“Nak tubuh cawangan memang mudah sebab syaratnya mudah tapi sekadar tubuh cawangan sahaja tidak cukup kerana dari segi kekuatan juga perlu dilihat.

“Bagi pihak UMNO sendiri, kita langsung tidak terasa tercabar malahan kita faham sangat dengan parti-parti serpihan ini tidak kira serpihan daripada UMNO atau dari parti apapun, ia tidak kekal lama. Setelah melihat kepada komitmen dan sebagainya, ahli yang pada mulanya teruja akhirnya akan berpaling kepada parti lama. Inilah kebiasaannya,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Anuar, parti Keadilan boleh dijadikan contoh terbaik. Pada permulaan parti ini ditubuhkan begitu ramai yang teruja menyertainya dan apabila pekung di dada terbuka maka ramai yang keluar parti dan kembali kepada parti asal.

Amanah pula dilahirkan daripada serpihan Pas yang tidak sebulu dengan ulama. Dek kerana itu mereka kini begitu rakus untuk berlumba dengan Pas bagi membuktikan bahawa mereka terbaik.

“Namun percayalah, parti yang rakus sebegini tidak mungkin diterima rakyat khususnya di Johor. Jadi saya ucapkan selamat berjaya kepada Amanah di Johor.

“Johor adalah negeri kelahiran UMNO maka sudah pasti UMNO akan terus gah di sini,” jelasnya lagi.