Isu keselamatan: Blogger jangan ‘spin’ kenyataan Ketua Polis Negara – Bastien

SEGAMAT, 4 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Bahgian Segamat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan beberapa pemilik blog dan pengguna internet yang memutar-belit seterusnya menyebarkan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakarberkaitan isu mempertahankan diri dari perompak atau penceroboh.

20160105185051Ketuanya, Bastien Onn berkata, perbuatan tersebut disifatkan seperti mempunyai agenda jahat untuk menimbulkan persepsi buruk kepada KPN khasnya dan PDRM amnya.

“Mereka seolah-olah mahu menggambarkan kononnya KPN tidak sensitif kepada keselamatan masyarakat dengna mengeluarkan kenyataan yang tidak boleh diterima akal. Kenyataan yang telah diputar-belitkan itu telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham masyarakat terhadap langkah keselamatan yang perlu diambil jika berdepan situasi yang tidak diingini ini.

“Tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab ini boleh menimbulkan rasa takut di hati rakyat malah kesan ketakutan ini akan menggambarkan kelemahan kerajaan sedia ada dalam melindungi rakyat.

“Oleh itu saya melihat tindakan tidak bertanggungjawab pemilik blog dan pengguna internet ini dari segi politik memang mempunyai niat yang tidak baik untuk menggambarkan kelemahan kerajaan,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah beliau, orang ramai seharusnya mengambil langkah membaca keseluruhan sesuatu artikel terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan berbanding membaca tajuk sahaja.

Ini kerana tindakan pemilik blog yang gemar menggunakan tajuk yang hebat tetapi tidak seiring dengan isi bertujuan mengejar populariti untuk menarik perhatian pembaca. Tindakan menggunakan tajuk yang tidak bertepatan dengan artikel ini juga dilihat sebagai suatu yang tidak boleh diterima dan menyalahi etika penulisan.

Masyarakat seharusnya bijak menggunakan teknologi untuk memahami undang-undang yang sememangnya telah lama ada dan diguna pakai di Malaysia. Sesuatu prosedur perlaksanaan undang-undang haruslah difahami dengan jelas sebelum membuat tuduhan melulu secara membuta tuli sehingga mengakibatkan tersebarnya maklumat yang tidak tepat dan persepsi yang buruk.

”Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam selaku dua badan berkaitan undang-undang yang paling hampir dengan masyarakat sepatutnya memainkan peranan untuk bersama-sama meleraikan kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Sepatutnya kedua-dua badan ini berada di barisan hadapan dalam menjadi agen menegakkan kebenaran kepada rakyat Malaysia dengan menerangkan peruntukan undang-undang yang berkaitan. Tindakan menyelamatkan diri dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menggambarkan mereka bukanlah suatu badan profesional yang mementingkan kebenaran.

“Janganlah mereka ini hanya bersuara di kala mahu membuktikan kesalahan kerajaan pusat tetapi apabila timbul sesuatu isu yang memerlukan mereka bersuara, mereka ini hanya diam menikus,” katanya lagi.

Sementara itu, Bastein turut membidas kenyataan media Presiden Majlis Peguam yang kononnya tidak sedar berkenaan kes ini. Ia dikeluarkan di dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris beberapa hari lalu jelas menunjukkan ketidakpekaan badan peguam ini berkaitan isu semasa.

“Ini jelas membuktikan bahawa seolah-olah Majlis Peguam mengamalkan dasar pilih bulu dalam menangani sesuatu isu tanpa mengutamakan kepentingan masyarakat. Badan ini sepatutnya mengamalkan pendekatan yang adil serta meletakkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sebagai keutamaan dalam memberi perkhidmatan.

“Mereka ini sepatutnya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan bersikap adil dalam semua perkara kerana mereka pakar dalam undang-undang.

“Tetapi sayangnya kepakaran mereka itu telah disalahgunakan demi kepentingan peribadi,” ujarnya.

Baru-baru ini kenyataan KPN berkaitan isu Zulkifli Ismail, 50, dari Terengganu, yang ditahan reman berhubung dakwaan membunuh perompak yang cuba masuk ke rumahnya telah diviralkan di media sosial.