Penyatuan UMNO Dan Pas Penting Demi Kepentingan Agama Dan Bangsa Terus Terbela

KLUANG, 22 Dis – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Md Jais Sarday berkata, sudah sekian lama seluruh rakyat khususnya berugama Islam mengimpikan agar UMNO dan Pas dapat persatu demi kepentingan agama dan bangsa terus terbela.

Namun ujarnya, penyatuan antara kedua-dua parti terbesar orang melayu ini bukanlah hanya sekadar pertimbangan politik semata-mata, tetapi ia mestilah berasaskan gagasan realiti yang ikhlas demi untuk memelihara agama, bangsa serta tanahair.

20151221210545-1“Kedua-dua parti ini telah melalui pelbagai sejarah dan peristiwa sejak ditubuhkan. Walaupun pada asasnya, Pas berada dalam barisan pembangkang namun peranannya dalam mengimbangi politik tanahair telah menyebabkan UMNO lebih proaktif dan dedikasi.

“Pentas Multaqa Serantau Alumni al- Azhar 2015 yang lalu seakan mampu merealisasikan impian untuk melihat UMNO dan Pas bersatu. Berlainan fahaman politik tidak mengapa asalkan masing-masing memainkan peranan untuk mengimbangi kekurangan yang ada demi menguatkan Islam.

”Masing-masing boleh menguna pakai idea dan pandangan jika ia relevan untuk kepentingan umum. Barisan Nasional (BN) selaku kerajaan pusat sudah pasti memerlukan pandangan bernas Pas bagi menjadikan Islam lebih kuat di Negara ini dan agama rasmi ini tidak diperkotak-katikkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Namun tambah Jais, keadaan politik tanahair pada hari ini telah berubah di mana Dap telah mendominasi barisan pembangkang dengan begitu agresif sehingga Berjaya menggerakkan fahaman politik baru dengan berselindung di sebalik pentas demokrasi.

Mereka sedang membawa misi Malaysian Malaysia iaitu keadilan yang berasaskan kesamarataan, di mana semua bangsa serta agama mempunyai taraf yang sama dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Kita juga sedar Dap sedang menjalankan gerakan memecah-belahkan perpaduan orang Melayu dan umat Islam.

“Oleh itu, UMNO dan PAS sewajarnya telah bersedia untuk bersama demi memelihara serta mempertahankan kedudukan agama, bangsa dan tanahair tanpa meletakkan syarat-syarat yang menyusahkan.

“Inilah ‘Impian Orang Melayu dan Islam’ yang wajib dilakukan oleh pemimpin kedua-dua parti Melayu terbesar di negara ini, demi untuk menghancurkan ‘Impian Malaysia’ palsu anjuran DAP. Semoga impian kita melihat penyatuan UMNO dan Pas tercapai dengan segera,” katanya lagi.