Kini Masa Untuk Berganding Bahu Untuk Menang PRU-14 – Anuar Manap

SEKIJANG, 21 Dis – Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, di sebalik arahan daripada Ahli Majlis Tertinggi (MT) untuk hanya membenarkan Presiden parti berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang lalu adalah demi memastikan tiada provokasi berlaku kerana ia akan memberikan kesan buruk serta mengundang perpecahan dalaman parti.

20151221211138Jelasnya, arahan tersebut adalah untuk memastikan semua ahli UMNO bersatu tanpa rasa prejudis seterusnya menyerap roh parti keramat ini kerana agenda lebih besar sedang menanti iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Ada yang berpendapat seharusnya peluang untuk berucap diberi seperti kebiasaan. Dek kerana perubahan yang dilakukan maka ia menjadi punca ada pihak menggunakan platform lain selain pentas perhimpunan untuk bercakap.

“Tetapi itu bukanlah alasan terbaik untuk mereka melawan arus. Di dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO  pun ada ruang untuk mereka bersuara sebenarnya. Sekarang ini tidak tidak ada masa lagi untuk bertelagah hal remeh.

“Sekarang adalah masa untuk bersatu dan menerima pelawaan jiwa besar yang dilaungkan oleh Presiden parti. Rata-rata perwakilan melihat ini adalah cara terbaik untuk memastikan masa yang ada digunakan bagi memperkukuhkan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Anuar, sekarang ini adalah waktu untuk semua pihak berganding bahu bekerja bagi memenangkan parti Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 nanti.

Selain itu beliau turut memuji ucapan penggulungan Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kerana ia telah menjawab beberapa perkara yang dibangkitkan oleh para perwakilan sekaligus membangkitkan kepercayaan akar umbi atas kepimpinannya menerajui Negara.

Jelasnya, isu-isu yang dibangkitkan antaranya peningkatan kos sara hidup, rasional kenaikan tambang pengangkutan awam, TPPA dan kemelut dalaman parti berjaya dijawab dengan baik dan ia membuatkan rakyat berpuas hati kerana Presiden parti ternyata mendengar suara rakyat.