620 Rumah Veteran ATM Dibina Dan Baik Pulih Sejak 2012 – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kerajaan telah membina dan membaik pulih 620 unit rumah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 2012 hingga 2015, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan turut menyasarkan tambahan sebanyak 200 unit kediaman pada tahun 2016 untuk veteran ATM.

DATUK SERI HISHAMMUDDIN HUSSEIN MELAWAT VETERAN ATM“Langkah ini bertujuan membantu veteran ATM yang tidak pernah memiliki rumah sendiri dengan menyediakan kediaman yang lebih kondusif dan selesa,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Mohd Salim Sharif yang ingin tahu pelan tindakan perumahan kepada kumpulan veteran ATM.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan anak syarikatnya telah membina dan menjual 1,650 rumah mampu milik kepada anggota tentera dan bekas tentera yang layak.

LTAT sedang merancang untuk membina tambahan 2,000 unit rumah mampu milik di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 748 unit rumah berkembar dua tingkat dan 307 unit rumah teres dua tingkat di Mutiara Rini, Johor untuk kelompok yang sama, katanya yang tidak menyatakan tempoh bagi projek-projek tersebut.

Sementara itu, Hishammuddin berkata melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), pelbagai kemudahan dan bantuan diwujudkan kepada veteran ATM termasuk Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan dengan perbelanjaan sebanyak RM57 juta kepada 35,915 penerima untuk tempoh 2013 hingga 2015.

“Kementerian turut memperuntukkan RM17.2 juta bagi tujuan kebajikan kepada veteran dan tanggungannya pada tahun 2016,” katanya.

Menerusi Skim Rawatan Perubatan pula, Hishammuddin berkata kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM190.13 juta bagi faedah perubatan veteran ATM dalam tempoh 2013 hingga 2015.