UMNO Terus Bertahan Lama Kerana Amalkan Pendekatan Berjiwa Besar

JOHOR BAHRU, 20 Dis – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Hahasrin Hashim berkata, sejak dahulu lagi pemimpin dalam UMNO memang berjiwa besar dan kerana itulah UMNO berjaya melalui apapun krisis dengan baik.

20151221211140Malah jelasnya, kerana itulah juga UMNO mampu bertahan lama dan terus menerajui kepimpinan Negara.

“Tidak dapat dinafikan semakin hari semakin banyak dugaan yang terpaksa ditempuh oleh UMNO dan kepimpinannya. Segala-galanya dipersoalkan…. Segala tindak- tanduk diperhatikan. Ada sahaja rongga pasti UMNO mahupun pemimpinnya akan diserang hingga lunyai.

“Itu belum ditambah dengan masalah dalaman yang memerlukan perhatian khusus. Masalah dalaman inilah yang perlu diselesaikan segera kerana kita mempunyai agenda yang jauh lebih penting iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Dua tahun bukan lama… PRU akan datang mengkehendaki pemimpin yang serba baik dari semua segi dan amat penting rakyat melihat pemimpin ini baik. Ini bakal mempengaruhi kepercayaan mereka untuk memberikan kita undi,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Hahasrin turut mengakui, sekiranya permasalahan dalaman parti tidak diselesaikan segera maka ia mampu mengganggu-gugat gerak kerja parti khususnya bagi persediaan untuk berhadapan dengan PRU akan datang.

“Oleh itu, pihak kepimpinan parti perlu segera mencari jalan penyelesaian bagi menyelesaikan krisis kepercayaan rakyat.

“Mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa kita juga sedang berhadapan dengan krisis mendapatkan kepercayaan rakyat. Saya juga akui Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu sedikit sebanyak berjaya untuk menangani krisis ini namun itu hanya diperingkat ahli.

“Bagaimana pula di peringkat akar umbi dan rakyat yang lain khususnya di atas pagar. Mereka ini perlu kita dekati dan kita perlu buktikan bahawa mereka tidak ada pilihan lain selain memilih UMNO keran sekiranya pucuk pimpinan berubah maka segalanya akan musnah,” katanya lagi.