UMNO Johor Alu-alukan Perpaduan Anggota, Pemimpin Tertinggi Demi Kekuatan Parti

JOHOR BAHARU, 14 Dis — UMNO Johor berharap Perhimpunan Agung Umno yang baru berakhir mampu meningkatkan perpaduan dalam kalangan anggota dan pemimpin tertinggi parti itu.

12366097_539191656244150_3590268539695000096_oPengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan perpaduan dalam kalangan anggota dan pemimpin tertinggi supaya parti ditunjangi orang Melayu itu terus kuat dan bersatu.

“Kita sebagai orang Islam mesti sentiasa wujudkan silaturrahim pada setiap masa. Kita berharap akan dapat pelbagai kebaikan daripada perhimpunan yang sudah kita lalui,” katanya.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Perumahan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) 2015 serta pelancaran persempadanan semula PBT daerah Johor Baharu dan Kulai, di sini Ahad.

Beliau mengulas mengenai salam perdamaian yang dihulurkan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam.

Najib dalam ucapan itu menyatakan beliau memilih untuk berjiwa besar dan menghulurkan silaturrahim kepada semua pihak agar dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan parti keramat orang Melayu itu.