UMNO Teraju BN Sebagai Jaguh Kejayaan Malaysia – Najib

KUALA LUMPUR, 10 Dis – UMNO selaku tunjang Barisan Nasional (BN) dan kerajaan yang telah mentadbir negara ini sejak puluhan tahun telah membuktikan kejaguhannya dalam membawa kejayaan kepada Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

12341540_1271687359523676_4307933909598877105_nJusteru, Presiden UMNO itu berkata mana mungkin orang boleh mengatakan Malaysia sebagai ‘fail state’ atau pengemis di bawah kepimpinan beliau.

“Daripada hanya sebuah perdesaan dan perkampungan, tiada siapa dapat menjangka kini kita telah tumbuh dan muncul menjadi sebuah Bintang Timur yang bergemerlapan bukan sahaja di rantau ini, bahkan di seantero dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya yang bertemakan ‘UMNO: Menyempurnakan Sebuah Perjuangan’ semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib turut melahirkan kesyukuran kerana lebih daripada 90 peratus perkara dalam Akujanji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, telah berjaya dikotakan dan ditunaikan kerajaan.

“Ia menjadi tanda bahawa kita adalah sebuah kerajaan yang menepati janji-janjinya. Kita perakui, masih terdapat dua atau tiga perkara yang besar dan subjektif, seperti perumahan rakyat dan kos sara hidup, yang saya dan rakan-rakan kepimpinan negara faham bahawa isu ini adalah besar dan menjadi keresahan utama kepada rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus berusaha, bagi meringankan beban rakyat dengan pelbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan projek-projek Perumahan Mampu Milik serta kenaikan gaji minimum dan gaji tahunan untuk penjawat awam.

“Di atas semuanya, yang terlebih penting, saya mahukan agar UMNO tidak hilang fokus dalam memastikan segala aku janji itu terus kita tunai dan
lunaskan,” katanya.

Najib berkata amanah yang dimandatkan adalah amat besar, untuk memimpin dan menerajui sebuah kesatuan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, bahkan orang Islam dan bukan Islam.

“Malah, tentunya seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah dekat 30 juta kini, tidak kira kaum Cina, India, Serani mahupun orang-orang Siam yang menetap di negara ini,…semuanya bagi kepimpinan UMNO, adalah sama penting dan sama mustahak dalam pembikinan sebuah nusa makmur lagi berjaya,” katanya.

Najib berkata perjuangan UMNO juga tidaklah terhenti setakat Wawasan 2020 sahaja tetapi menjelang tahun 2030, kerajaan menyasarkan untuk berada pada kedudukan 10 negara terbaik yang paling kompetitif di dunia.

“Kita mahu kemakmuran negara akan berterusan, bukan sekadar untuk 50 tahun atau sekurun lagi, bahkan untuk tempoh yang lebih panjang daripada itu,” kata Presiden UMNO itu.

Menyentuh mengenai terdapat usaha-usaha untuk menjatuhkan kerajaan sekarang, Najib berkata sarjana-sarjana agama, antaranya Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram Sheikh Dr Sulaiman Saloomi, telah menyatakan tentang haram hukumnya menggulingkan kerajaan.

“Apatah lagi, melalui demonstrasi jalanan, sehingga tergamakkah kita melihat pabila segelintir kaum lain, dengan beraninya memijak-mijak gambar-gambar para pemimpin Melayu Islam kita.

“Saya telah meminta pendapat beberapa orang alim ulama berkaitan bagaimanakah yang dikatakan sesebuah kerajaan itu zalim serta layak
ditumbangkan.

“Soalnya, apakah kepimpinan kerajaan kini yang telah berikhtiar sehabis baik, merintis berjuta jalan, demi maslahah rakyat, apakah itu boleh dihukum sebagai kerajaan yang zalim?,” katanya.

Perdana Menteri berkata perjuangan UMNO bukan sahaja di Semenanjung, bahkan parti itu akan terus membantu rakan-rakannya iaitu parti komponen BN, dalam usaha membela untung nasib rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Baru-baru ini, saya telah umumkan bahawa lebih banyak kuasa pentadbiran atau empowerment, yang membabitkan jabatan dan agensi persekutuan bakal diberikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Begitu juga halnya bagi negeri Sabah. Di bawah kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, kita terus bermati-matian mempertahankan tanah Sabah daripada penceroboh yang tidak diundang,” katanya.

Bagaimanapun, Najib melahirkan rasa kesalnya kerana tatkala kerajaan mempertahankan kedaulatan bumi Sabah daripada pengganas, ada pula
individu-individu tertentu yang tergamak, malah sanggup bertemu dengan pihak yang pernah dikaitkan dengan penceroboh di Lahad Datu.

“Perbuatan ini sememangnya sungguh tidak bertanggungjawab, sungguh mengguris hati, bahkan boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap keluarga dan para perajurit serta pengkhianatan terang-terangan pada negara,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan keselamatan bumi Sabah, supaya negeri di bawah Bayu itu terus kekal bersama Malaysia selain makmur sentosa, buat selama-selamanya.