Tunku Abdul Jalil Seorang Penyayang, Rendah Diri – TMJ

JOHOR BAHARU, 6 Dis — “Kepada adikku yang dikasihi… Dalam banyak malam yang berlalu, inilah malam yang paling sukar untuk saya.

wahai adikku yang dikasihi - TMJ“Kita semua amat sayang dan rindukan kamu. Kamu yang sentiasa membuatkan kita tersenyum. Kamu juga kekuatan dan inspirasiku.

“Kamu punyai satu sifat yang kita tiada; jiwa yang penyayang dan rendah diri.

“Saya sayangkan kamu sepenuh hati dan sangat rindukan kamu.

“Kamu takkan dilupakan. Namamu akan dibawa oleh warisku. Senyumanmu adalah kekuatanku.

“Semoga Allah merahmatimu, adikku. Saya sentiasa sayangkan kamu,” demikian rintihan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas kepergian adinda baginda Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil malam tadi.

Rintihan ini tercatat di Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), JOHOR Southern Tigers, hari ini.

Tunku Ismail adalah Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat akibat kanser pada pukul 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik dan putera kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Jenazah Almarhum selamat dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah, di sini, kira-kira 3.20 petang, hari ini.