Belasungkawa: Perginya Putera Yang Disenangi Rakyat

Hujan di kala petang seolah-olah menangisi kemangkatan Tunku Abdul Jalil Iskandar Sultan Ibrahim di Wad Diraja, Hospital Sultanah Aminah pada pukul 7.11 malam tadi.

12313819_10205328917204040_811382443306070897_nTunku Abdul Jalil yang bergelar Tunku Laksamana Johor dan diputerakan pada 5 Julai 1990, sememangnya dikenali sebagai seorang yang disenangi oleh rakyat Malaysia amnya dan Johor khasnya.

Minat mendalam terhadap haiwan, membawa Almarhum melanjutkan pengajian dalam bidang Zoologi dan Pemuliharaan dari sebuah universiti di United Kingdom, malah tidak segan untuk menjadi penjaga zoo di Singapura selama setahun dan London hampir dua tahun.

Jika kerabat diraja Johor si­nonim dengan penglibatan da­lam ketenteraan, Allahyarham mencatat keunikan tersendiri apabila mengikuti kursus latihan kepolisan selama sembilan bulan dan berkhidmat dalam pasukan polis sebagai seorang Inspektor.

Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Siri 1/2011 di padang kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak juga diketuai Allahyarham sebelum mengikuti latihan bersama pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM di Hulu Kinta, Perak selama tiga bulan.

Malah pemakaian pangkat itu juga baru sahaja dijalankan dalam satu majlis ringkas di Istana Bukit Serene pada 13 Oktober lalu oleh ayahandanya sendiri, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sejak disahkan menghidap kanser hati, Allahyarham menjalani rawatan intensif dan pemindahan hati di Guangzhou, China tahun lalu yang membawa kepada pemulihan kepada penyakit yang dihidapi.

Kakitangan Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, sudah tentu mengenali karakter putera raja yang mudah didekati, ramah dan biasa memulakan perbualan dengan bertanya khabar.

Sejak itu, Allahyarham dengan penuh dedikasi menubuhkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana bertujuan untuk membantu pesakit kanser di negara ini. – Utusan