Tiada Undang-Undang Wajib Umum Dana Politik – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Amalan menerima dana politik tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan undang-undang negara, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.

Maslan-Bajet-685x320Beliau berkata ini kerana tiada peruntukan khusus yang mewajibkan mana-mana parti politik untuk mengumumkan dana yang diterima mereka.

“Tidak ada mana-mana akta yang suruh dan minta dana politik diumumkan,” katanya pada Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2015 (Pemanas) yang bertemakan Mahasiswa Arkitek Masa Hadapan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pemanas diadakan selama empat hari bermula Khamis lepas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang dijadual berlangsung pada 8 hingga 12 Dis ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelaskan punca harga barang tidak turun selepas perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah disebabkan sikap tidak bertanggungjawab peniaga.

“Harga tidak turun kerana disabotaj oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab dan beretika selain dimanipulasi oleh mereka. Yang turun hanyalah harga kereta,” katanya.

Beliau berkata GST sebenarnya bukanlah kos kepada perniagaan kerana ia boleh dituntut semula berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menjadi kos yang perlu ditanggung peniaga.

“Sebab itu kita perlukan GST kerana SST adalah cukai yang lemah,” katanya. GST dilaksanakan pada 1 April tahun ini dengan kadar enam peratus menggantikan SST pada kadar 10 peratus.