Bait Al-Amanah Bawa Misi Tersendiri Pulihkan Keyakinan Rakyat Terhadap UMNO

JOHOR BAHARU, 5 Dis — Penubuhan Bait Al-Amanah (BAA) di Johor sebagai badan pemikir untuk merencanakan pelan jangka panjang bagi proses permulaan pengislahan parti UMNO, dilihat bertepatan dengan masa kini.

Ketika parti keramat itu berhadapan pelbagai cabaran dalaman dan luaran, UMNO Johor tampil mengambil inisiatif sendiri dengan menubuhkan badan pemikir yang akan merencanakan pelan jangka panjang bagi parti yang berusia 69 tahun itu.

12068462_10153385283384355_3284627923079558882_oKetika melancarkan BAA pada 9 Okt lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ilmu anggota UMNO golongan profesional penting dalam menyumbang pandangan dan pendekatan baharu, sekali gus menyediakan mereka untuk menggalas amanat menerajui kepimpinan kelak.

Pengerusi BAA Tan Sri Shahrir Samad berkata penubuhan badan pemikir itu tepat pada masanya ketika UMNO sebagai sebuah parti yang lama, dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai tersasar daripada ideologi dan perjuangan asal.

“Ya, selepas lebih 60 tahun memerintah, kita mungkin berlainan daripada apa yang dijangkakan. Mungkin kita pun sudah tersimpang sedikit, sudah jadi gemuk dan buncit dan kurang daya ketahanan.

“Jadi, dalam keadaan yang bahaya itu, kita harus lihat kepada diri sendiri untuk mengenali diri dan bukanlah setiapkali ada masalah, kita kata (dakwa)
masalah itu timbul daripada orang luar atau orang sengaja hendak ‘provoke’ dan sebagainya,” kata beliau dalam wawancara khas baru-baru ini.

Ekoran begitu banyak interpretasi sedang dibuat terhadap ideologi UMNO yang dikatakan hanya menjaga hak masyarakat Melayu, keperluan untuk BAA diwujudkan juga lebih mendesak bagi mengelakkan parti itu terus disalah erti oleh masyarakat terutama daripada golongan bukan Islam.

“Memang UMNO sebuah parti yang konservatif tetapi ia konservatif kerana mempertahankan ideologinya yang menjadi sebahagian daripada perkara terkandung dalam Perlembagaan Negara.

“Sambil ia konservatif, dasar dan strateginya juga masih boleh dijadikan sebagai dasar dan strategi yang pragmatik bagi kesemua masyarakat, tetapi semua
itu tidak difahami rakyat,” katanya.

Masih disifatkan sebagai ‘bayi’, BAA sedang dalam proses menyenaraikan nama tokoh-tokoh yang akan terlibat dalam kerja-kerja kajian ilmiah dan merencanakan pelan untuk jangka panjang.

Secara tidak formal, ia sudahpun memikirkan beberapa nama termasuk ahli akademik dan golongan cendekiawan untuk dilibatkan dalam BAA termasuk bekas pemimpin parti terdahulu.

Tidak terkecuali dalam senarai ialah nama bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad kerana pandangan serta pemikiran beliau masih diperlukan bagi melihat dan memahami sesetengah situasi atau senario yang lebih besar berbanding dalam konteks UMNO Johor semata-mata.

“BAA tidak sebesar mana dan hanya melihat kepada UMNO Johor tetapi kalau kita hendak mereka mendapatkan pandangan dan pemikiran yang di luar konteks Johor maka tentunya kita tidak segan silu menjemput (Tun Mahathir). Kita sentiasa bersedia,” kata Anggota Parlimen Johor Baharu itu.

Selain itu, beliau menyifatkan intipati yang lebih penting termasuk tidak meminggirkan suara anak muda dalam melakukan segala kajian ilmiah dan pada
masa sama merencanakan pelan tindakan untuk memperbetulkan kembali hala tuju UMNO.

Bagi Shahrir, BAA tidak boleh bergerak bersendirian dan harus berinteraksi dengan golongan sivik, pertubuhan bukan kerajan (NGO) dan anak muda daripada pelbagai kepakaran.

Dalam masa sama, BAA akan mempertimbangkan kembali aspirasi generasi ‘nenek moyang’ ke dalam strategi yang dirangka kerana selama ini golongan tersebut menaruh harapan tinggi terhadap perubahan sistem pendidikan dan pelbagai perkara.

Bagaimanapun, Shahrir percaya perkara itu bukanlah tugas yang mudah berikutan UMNO Johor terpaksa bersaing sengit dengan pembangkang dalam
memastikan strategi yang dilaksanakan berkesan dalam memenangi hati pengundi menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Jadi, cabaran kita sekarang adalah menghidupkan balik rangka pemikiran dan  falsafah politik yang selama ini sudah ada dalam UMNO tetapi tidak dilakukan sebaik mungkin sehingga ke akar umbi,” katanya.

Beliau juga berharap penubuhan BAA ini dapat menjadi teras dalam menyumbang idea bernas kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk menyelesaikan isu-isu nasional selain pada masa sama mengukuhkan kembali peranan UMNO Johor dalam menyumbangkan kekuatan kepada parti.

“Kita tidak boleh lari daripada impak dan kesan-kesan isu-isu nasional tetapi secara positif, kita kenalah mengemukakan pandangan yang rasional, berasas supaya kita bukan menjadi sebahagian daripada masalah tetapi sebenarnya membawa penyelesaian,” katanya. – Bernama